SST: KPK akan buat libat urus bersama penggiat minyak sawit

SST: KPK akan buat libat urus bersama penggiat minyak sawit

Libat urus penting agar semua pihak faham lebih jelas kesan sebenar SST, kata timbalan menteri.

Chan Fong Hin
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Fong Hin berkata, masih terdapat beberapa isu belum jelas menerusi dialog antara penggiat industri sawit dengan Kementerian Kewangan sebelum ini. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri minyak sawit pada Khamis ini bagi membincangkan pelbagai kekeliruan berkenaan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), terutama dari segi tafsiran produk akhir.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Fong Hin berkata, sesi libat urus itu penting agar semua pihak dalam sektor berkaitan faham lebih jelas kesan sebenar SST terhadap rantaian bekalan serta pengeluaran komoditi.

“Sebelum ini, mereka telah mengadakan dialog dengan Kementerian Kewangan tetapi masih terdapat beberapa isu yang belum diberi penjelasan sepenuhnya,” katanya.

“Oleh itu, kementerian mengambil langkah untuk campur tangan dan membantu agar pihak berkepentingan dapat pemahaman lebih mendalam mengenai situasi sebenar mereka hadapi di lapangan.”

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Food & Drinks Malaysia 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec) hari ini.

Chan berkata, kekeliruan berhubung tafsiran produk akhir itu berikutan produk dari satu kilang kemudian digunakan sebagai bahan asas oleh pihak lain untuk menghasilkan pelbagai produk di pasaran.

“Kerajaan tidak berhasrat pindahkan kos pada pelanggan tetapi akhirnya merentasi rantaian bekalan itu. Justeru, kita berharap SST ini hanya dikenakan kepada produk akhir,” katanya.

“Bagaimanapun, timbul isu apabila produk akhir dikeluarkan oleh bagi satu pihak menjadi bahan mentah bagi pihak lain. Jadi bagaimana kita mentakrifkannya?”

Mengulas mengenai penangguhan pelaksanaan SST 5% ke atas bahan mentah lateks getah asli (NR) dan lateks getah nitril butadiena (NBR) seperti dicadangkan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Chan berkata, belum ada penyelesaian tentang perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang cadangan daripada pemain industri atau pihak berkepentingan untuk membantu merangka penyelesaian terbaik.

Sebelum ini, persatuan itu memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan SST 5% ke atas bahan mentah lateks NR dan lateks getah NBR yang disenaraikan di bawah perintah terkini P.U.(A) 170/2025.

Ian memberi amaran, pelaksanaan cukai itu akan memberi impak rantaian terhadap keseluruhan ekosistem industri getah domestik termasuk menjejaskan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melambatkan inovasi serta mengugat kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran sarung tangan global.

Terdahulu, Chan dalam ucapannya berkata, dunia sedang menghadapi kekurangan biji koko global dan permintaan semakin meningkat untuk koko mampan sedang membentuk semula industri.

Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran itu secara berterusan, tambahnya.

“Kami kini giat menghidupkan semula pembangunan ladang koko, diterajui oleh Lembaga Koko Malaysia,” katanya.

“Inisiatif ini sudah pun dijalankan dan kami menjemput pelabur, koperasi dan pemain perladangan, domestik dan antarabangsa untuk menyertai usaha ini.”

Beliau berkata, mereka juga mengalihkan tumpuan kepada koko premium termasuk kacang berperisa halus, pilihan asal tunggal dan pilihan organik untuk memenuhi permintaan global khusus dan menempatkan coklat Malaysia di peringkat tinggi rantaian nilai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.