Permohonan Najib halang rayuan AG berkait titah adendum ditolak

Permohonan Najib halang rayuan AG berkait titah adendum ditolak

Mahkamah Rayuan memutuskan persoalan berkaitan mengemukakan keterangan baharu bukan bersifat hipotesis atau akademik.

NAJIB RAZAK
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun berkait kes SRC International Sdn Bhd.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghentikan rayuan peguam negara terhadap usahanya mendapatkan semakan kehakiman berkaitan titah titah adendum yang membenarkan beliau menjalani tahanan rumah.

Panel tiga anggota yang terdiri daripada Hakim Hasnah Hashim, Zabariah Yusof dan Hanipah Farikullah memutuskan sebulat suara bahawa persoalan berkaitan mengemukakan keterangan baharu bukan bersifat hipotesis atau akademik.

Terdahulu, peguam Najib, Shafee Abdullah berhujah bahawa tiga persoalan tersebut adalah akademik, bersifat hipotesis dan tidak mempunyai asas fakta.

Bagaimanapun, Hasnah memutuskan bahawa persoalan-persoalan itu wajar diperhalusi lebih lanjut di hadapan mahkamah.

Beliau turut berkata bahawa persoalan lain mengenai peranan peguam negara pada peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman memerlukan keputusan Mahkamah Persekutuan, berikutan pendirian bercanggah yang diambil oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa persoalan sama ada titah adendum itu boleh disemak secara kehakiman oleh Mahkamah Persekutuan adalah relevan terhadap Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan.

Mahkamah tertinggi itu sedang mendengar rayuan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berkaitan titah adendum tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.

Dalam keputusan majoriti 2-1 pada 6 Jan lalu, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula kes berkenaan dakwaan kewujudan titah adendum itu ke Mahkamah Tinggi untuk didengar atas merit.

Keputusan ini membatalkan keputusan awal Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai titah adendum yang didakwa itu.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakan beliau.

Pada Februari tahun lepas, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.