Pensyarah lesap RM294,000 ditipu suspek menyamar polis

Pensyarah lesap RM294,000 ditipu suspek menyamar polis

Polis berkata mangsa turut diarah melaporkan diri lima kali sehari melalui telefon, aplikasi WhatsApp dan panggilan video.

Polis berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai syarikat e-dagang mendakwa nombor telefonnya disalah guna dalam aktiviti penipuan 30 April lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pensyarah kerugian RM294,000 akibat terpedaya suspek menyamar sebagai pegawai polis dan syarikat platform e-dagang.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lelaki 44 tahun itu dalam laporan semalam memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa pegawai syarikat e-dagang kononnya nombor telefon mangsa disalahgunakan dalam aktiviti penipuan 30 April lalu.

Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit kegiatan pemalsuan dokumen dan pengubahan wang haram.

“Suspek memperdaya mangsa dengan ancaman hukuman penjara dan sebatan yang menyebabkan mangsa dalam keadaan panik membuat 17 transaksi kepada 11 akaun bank berbeza berjumlah RM294,000.00.

“Transaksi dilakukan melalui perbankan dalam talian dan mesin deposit tunai,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa turut diarah melaporkan diri lima kali sehari melalui telefon, aplikasi WhatsApp dan panggilan video.

Katanya, sumber kewangan mangsa daripada wang simpanan dan pinjaman bank.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan ditipu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai menyemak nombor telefon dan akaun diterima melalui https://semakmule.mp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.