Pengangkutan awam perlukan lebih dari sekadar LRT, kata pakar

Pengangkutan awam perlukan lebih dari sekadar LRT, kata pakar

TC Chew berkata projek LRT memerlukan rancangan lebih besar termasuk penggunaan tanah yang efektif dan dasar yang sesuai.

TC Chew
Pakar sistem rail dan transit, TC Chew (kanan) bersama Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu forum mengenai masa depan pengangkutan di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Sistem pengangkutan awam yang hanya bergantung kepada sistem transit aliran ringan (LRT) tanpa pelan pengangkutan menyeluruh pasti akan gagal, kata pakar sistem rel dan transit, TC Chew.

Bercakap dalam forum anjuran kerajaan negeri mengenai masa depan pengangkutan di Pulau Pinang, Chew berkata sistem LRT sering dilihat sebagai penyelesaian kepada kesesakan bandar.

Bagaimanapun, katanya ia hanya akan berjaya sekiranya digabungkan dengan perancangan bandar yang baik, termasuk penggunaan tanah yang efektif, dasar kukuh dan pelaksanaan jangka panjang.

“Jika anda hanya menawarkan sistem LRT dan tidak buat apa-apa yang lain, anda akan gagal,” kata felo Royal Academy of Engineering itu.

Chew, yang pernah terlibat dalam pembinaan rangkaian rel di Hong Kong, Singapura dan UK, berkata kejayaan sistem rel massa (MTR) Hong Kong dan sistem transit massa (MRT) Singapura adalah kerana ia disokong oleh dasar kerajaan yang mantap serta kawalan tanah.

Beliau berkata kerajaan Hong Kong, sebagai contoh, menggunakan keuntungan hasil peningkatan nilai hartanah di sekeliling rangkaian relnya untuk membiayai pembangunan MTR.

“Mereka mula berfikir bahawa hartanah ialah pemacu utama. Tetapi ini hanya berhasil kerana kerajaan mempunyai kawalan kukuh ke atas hartanah. Mereka boleh merancang rel dan pembangunan bersama,” katanya.

Chew berkata di Singapura, undang-undang diluluskan untuk membolehkan kerajaan memperoleh tanah di sekitar laluan baharu MRT, bagi memastikan rakyat turut mendapat manfaat daripada pelaburan tersebut.

“Pemikiran mereka ialah, jika kerajaan membayar kos MRT, maka rakyat juga harus mendapat manfaatnya, bukan hanya pemaju swasta,” katanya.

Mengubah angin politik

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata projek LRT telah tertangguh selama bertahun-tahun, kebanyakannya disebabkan oleh perubahan angin politik.

“Kita menghabiskan banyak masa tanpa arah. Monorel diluluskan bertahun-tahun dahulu, begitu juga dengan peluasan lapangan terbang… tetapi kedua-duanya dibatalkan atas alasan politik,” katanya.

Kerajaan persekutuan di bawah bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan projek monorel, namun ia dibatalkan pada 2008 berikutan perubahan keutamaan negara.

Zairil berkata kerajaan negeri kini bergerak pantas – selagi keadaan politik persekutuan membenarkannya.

Katanya, Pulau Pinang mula merancang projek LRT sebelum menerima sokongan persekutuan, malah pernah mengadakan perbincangan lanjutan dengan Bank Pembangunan Asia untuk pembiayaan, tetapi kemajuan terlalu perlahan tanpa kelulusan pusat.

Katanya, banyak cara untuk melaksanakan projek itu tetapi pilihan adalah terhad tanpa sokongan persekutuan. “Bagaimanapun, Pulau Pinang sentiasa menemui jalannya,” katanya.

Laluan LRT Mutiara, yang akan menghubungkan Komtar ke Bayan Lepas, dengan satu cabang dari kawasan Macallum ke Butterworth, kini sedang dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan dan MRT Corp.

Kerja pembinaan projek bernilai RM17 bilion sepanjang 29.5km itu dijangka bermula tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.