Pelarasan SST selaras pendekatan bersasar, kata menteri kewangan II

Pelarasan SST selaras pendekatan bersasar, kata menteri kewangan II

Menteri kewangan II berkata kerajaan mengambil kira kesan kewangan dalam menyemak semula senarai barangan dan perkhidmatan.

AMIR HAMZAH AZIZAN
Menteri kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan mendapat maklum balas selepas melaksanakan dasar dan akan menyesuaikannya mengikut keperluan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan menambah baik skop peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dibuat selaras pendekatan bersasar dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Amir berkata ketika kementerian membuat keputusan untuk menyemak semula senarai barangan dan perkhidmatan, mereka mengambil kira pihak yang akan terkesan dari segi kewangan.

“Tetapi ia kembali kepada falsafah pendekatan bersasar berbanding mekanisme menyeluruh,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bersasar di Semenanjung Malaysia manakala bagi petrol RON95 pula dijangka pada separuh kedua tahun ini.

Peluasan skop SST bermula hari ini menyaksikan cukai jualan (CJ) antara 5% hingga 10% bagi barangan bukan keperluan manakala cukai perkhidmatan (CP) diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.

Jumaat lalu, Kementerian Kewangan memutuskan mengecualikan epal, oren, kurma dan limau mandarin daripada senarai dikenakan CJ, mengambil maklum balas ramai terutama B40 dalam membeli buah-buahan import itu kerana harganya mampu milik.

Kerajaan juga memutuskan untuk tidak mengenakan CP ke atas perkhidmatan kecantikan seperti manikur, pedikur, rawatan muka dan dandanan rambut setelah mengambil kira sentimen awam.

Kementerian Kewangan turut menaikkan ambang pendaftaran cukai perkhidmatan bagi sewaan/pajakan dan perkhidmatan kewangan kepada RM1 juta daripada RM500,000 bagi mengurangkan jumlah perniagaan kecil yang terjejas.

Amir berkata kerajaan akan mendapatkan maklum balas selepas pelaksanaan dasar dan akan membuat pelarasan sewajarnya memandangkan pentadbiran sekarang bersifat ‘adil’.

“Saya harap orang ramai gembira kerana kita melaraskan SST,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.