
Projek diterajui YTL Communications (YTLC) itu dilengkapi seni bina rangkaian radio termaju yang membolehkan perkongsian spektrum untuk lima pengendali rangkaian mudah alih utama iaitu Yes, CelcomDigi, Maxis, TM, dan U Mobile.
Antara yang menerima manfaat termasuk perkampungan nelayan dan komuniti terpencil sekali gus merangsang pembangunan ekonomi tempatan.
Projek penting ini bawah inisiatif kerajaan ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’, yang disokong Kerangka Perkongsian Infrastruktur Rangkaian (NISF) dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 27 Jan lalu.
Fahmi yang meninjau menara tersebut hari ini berkata ia antara lima kemudahan dibangunkan bagi mempertingkat kesalinghubungan, khususnya di kawasan kurang liputan internet.
Menurutnya, kejayaan itu hasil usaha industri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi satu kerangka perkongsian rangkaian dibangunkan.
“Ia membolehkan semua syarikat telekomunikasi berkongsi satu menara sekali gus menyelesaikan isu liputan terutamanya di kawasan tidak berpenduduk tetapi merupakan laluan penting,” katanya menurut Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif YTLC Wing K Lee pula berkata pihaknya menyokong sepenuhnya NISF yang dilaksanakan membabitkan kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, penggunaan peralatan rangkaian dan spektrum Yes untuk menjadi hos kepada semua syarikat telekomunikasi mudah alih utama itu telah membantu menambah baik liputan demi rakyat.
“Acara hari ini bukan sekadar mengenai sebuah menara, ia mencerminkan kerjasama menyeluruh industri dalam menyampaikan impak sebenar dan boleh diukur kepada rakyat,” katanya.
YTLC bekerjasama dengan Konsortium Jaringan Selangor selaku penyedia prasarana projek ini, yang berjaya menyiapkan pembinaan menara dalam tempoh sesingkat satu bulan dalam persekitaran yang mencabar.
Empat lagi lokasi menara terletak di Ikon Tengkolok dan Kem Pengakap di Bukit Putus, Negeri Sembilan; Prima Gambang, Pahang; serta Plaza Tol Kota Seri Langat di Lebuhraya Pantai Barat, Banting, Selangor.