
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang menyampaikan keputusan sebulat suara lima panel hakim berkata Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenakan hukuman yang melebihi had dibenarkan bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Beliau berkata, seksyen itu adalah ‘campur tangan yang tidak seimbang’ dan merupakan larangan, bukannya sekatan hak itu.
Keputusan itu berpunca daripada cabaran perlembagaan dikemukakan bekas setiausaha agung Muda Amir Hadi, yang didakwa pada 2022 kerana gagal memberi notis lima hari kepada polis sebelum menganjurkan protes di luar kompleks Sogo di Kuala Lumpur.
Pada 14 Ogos 2022, perhimpunan kira-kira 200 orang menggesa menteri yang bertanggungjawab atas kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) dipecat atau dibawa ke muka pengadilan.
Amir didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman, yang memerlukan notis awal kepada polis, dan berdepan hukuman bawah Seksyen 9(5), yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.
Dia kemudian memfailkan cabaran perlembagaan terhadap Seksyen 9(5) akta tersebut. Mahkamah Tinggi kemudian merujuk persoalan itu kepada Mahkamah Persekutuan.
Tengku Maimun juga mengarahkan prosiding jenayah Amir yang sedang berjalan diserahkan ke Mahkamah Tinggi dan dilupuskan selaras penghakiman mahkamah tertinggi.