
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata beliau kesal dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa seolah-olah memperlekeh kelompok terbabit.
Menurut pemimpin Bersatu itu, isu pokok lebih besar berkait kesan rantaian yang akan menyebabkan harga makanan dan barangan asas di kampus dijangka meningkat susulan peningkatan kos ditanggung pembekal.
Jelasnya, kesan turut dirasai mahasiswa tinggal di luar kampus yang menanggung kos sewa, pengangkutan dan utiliti secara langsung.
“Saya menyeru kerajaan mengambil serius bebanan kos sara hidup ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka,” kata bekas timbalan menteri pengajian tinggi dalam kenyataan.
Semalam, Anwar dipetik berkata kerajaan terbuka menerima kritikan berhubung peluasan skop SST, namun pandangan mesti dibuat berasaskan fakta.
Menurutnya, dalam menyentuh soal SST ada mahasiswa mengeluh dengan tarif baharu elektrik, sambil bertanya sama ada mereka terkesan dan ada universiti mengenakan caj elektrik terhadap kelompok itu.
“Kalau benar, itu kita harus betulkan dan yang saya tahu universiti awam dikecualikan,” katanya.