Kes bunuh Kevin Morais: Hukuman mati bekas doktor kekal, 2 lagi dipenjara

Kes bunuh Kevin Morais: Hukuman mati bekas doktor kekal, 2 lagi dipenjara

Tiga lagi lelaki dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada kes prima facie terhadap mereka.

Kevin Morais
Mayat Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 Sept 2015. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap bekas doktor tentera R Kunaseegaran berhubung kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais lapan tahun lalu.

Dua lagi individu iaitu S Nimalan, 32, dan S Ravi Chandran, 54, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 40 tahun.

Nimalan turut diperintahkan menerima 12 sebatan rotan, manakala Ravi Chandran terlepas dari sebatan disebabkan faktor usia.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat berkata hukuman mati Kunaseegaran kekal kerana beliau telah menarik balik rayuannya terhadap hukuman itu.

Sementara itu, mahkamah membebaskan tiga lagi, R Dinishwaran, 33; AK Thinesh Kumar, 32; M Vishwanath, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim ketika menyampaikan alasan penghakiman, berkata pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan mengikut keadaan untuk mensabitkan kesalahan terhadap Kunaseegaran, Nimalan, dan Ravi Chandran.

“Setelah meneliti keseluruhan keterangan, kami berpandangan keterangan dikemuka adalah berwibawa dan meyakinkan.

“Kami juga telah mempertimbangkan pembelaan ketiga-tiga tertuduh, namun mereka gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Abang Iskandar yang juga merupakan presiden Mahkamah Rayuan.

Panel turut disertai Hakim Mahkamah Persekutuan, Rhodzariah Bujang.

Abang Iskandar berkata, Dinishwaran, Thinesh Kumar, dan Vishwanath sepatutnya dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

“Kami membenarkan rayuan mereka dan dengan ini mengetepikan sabitan terhadap pertuduhan membunuh,” katanya.

Peguam N Sivananthan, mewakili Kunaseegaran, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mengarahkan beliau menarik balik rayuan terhadap hukuman mati yang telah dijatuhkan Mahkamah Tinggi yang turut dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Peguam Amer Hamzah Arshad, mewakili Nimalan, dan peguam Kitson Fong, mewakili Ravi Chandran, merayu agar hukuman penjara dikenakan memandangkan mahkamah mempunyai budi bicara selaras pindaan terhadap undang-undang jenayah yang berkuat kuasa dua tahun lalu.

“Anak guam saya berusia 22 tahun ketika kejadian. Dia wajar diberi peluang kedua untuk memulakan hidup baharu,” kata Amer dalam mahkamah.

Fong mengakui pembunuhan ke atas Morais adalah perbuatan kejam, namun merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari, memohon hukuman mati dikekalkan memandangkan jenayah itu dilakukan terhadap seorang penjawat awam.

“Mayat mangsa telah dimasukkan dalam tong yang dipenuhi simen sebelum dilupuskan,” katanya sambil menambah jenayah penculikan terhadap si mati dilakukan secara terang-terangan pada siang hari.

Peguambela lain yang turut hadir ialah Y Sheelan Samuagan mewakili Dinishwaran, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, dan Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Vishwanath.

Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz dan Yusaini Abdul Karim juga hadir mewakili pendakwaan.

Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman mati terhadap semua tertuduh pada 10 Julai 2020 selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais pada 4 Sept 2015, di suatu lokasi antara Sentul, Kuala Lumpur, dan Subang Jaya, Selangor.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta rasmi. Mayat mendiang ditemui dalam sebuah tong minyak dipenuhi simen di Subang Jaya, 12 hari kemudian.

Pihak pendakwaan berhujah beberapa tertuduh telah merancang melanggar kenderaan dipandu Morais sebelum menculiknya ketika dalam perjalanan keluar dari kediaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.