Kastam rampas ganja, kereta mewah bernilai RM10.9 juta

Kastam rampas ganja, kereta mewah bernilai RM10.9 juta

Pihak berkuasa turut rampas 55,320 unit peranti rokok elektronik dan karkas babi yang semuanya bernilai RM3 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Perak Mohd Nadzri Ariffin, berkata pihaknya menemukan ganja seberat 9.8kg selain rampas sebuah kenderaan mewah Brabham model BT62 bernilai RM6.4 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kastam Perak mematahkan cubaan menyeludup antaranya dadah dan kenderaan mewah di empat lokasi berasingan dengan nilai rampasan keseluruhan RM10.9 juta.

Pengarah Mohd Nadzri Ariffin, berkata pada 5 Jun, pihaknya menemukan lapan bungkusan plastik mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 9.8kg di sebuah perkhidmatan kurier di Petaling Jaya, pada 2.45 petang.

“Penyeludupan dadah bernilai RM966,084 yang disembunyikan dalam kotak tilam dan kolam angin untuk dieksport ke luar negara ialah modus operandi yang digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya menurut Bernama di Ipoh.

Nadzri berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di lokasi seterusnya, katanya Kastam Perak merampas 55,320 unit peranti rokok elektronik mengandungi cecair pelbagai jenama dan 706 keping jubin marmar yang diseludup dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, pada 4 Jun.

Beliau berkata, modus operandi digunakan ialah melakukan pengikraran tidak benar terhadap barang dagangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berasingan, Nadzri berkata pihaknya menemukan sebuah kenderaan jenis Brabham model BT62 yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Selangor, pada 27 Mei.

Beliau berkata, kenderaan dirampas dianggarkan bernilai RM6.4 juta termasuk cukai dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Nadzri berkata pihaknya turut merampas karkas babi yang dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen dan tidak dirujuk dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) selain tiada permit import dan sijil kesihatan dari negara terbabit.

“Karkas babi yang dirampas hasil pemeriksaan terhadap dua lori sejuk beku di Pengkalan Hulu, Gerik dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.