Percaya proses undang-undang, kata Armizan selepas 2 Adun dituduh rasuah

Percaya proses undang-undang, kata Armizan selepas 2 Adun dituduh rasuah

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali harap semua pihak tidak buat kesimpulan awal berdasarkan sentimen dan persepsi.

Armizan Mohd Ali
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata persepsi tidak semestinya realiti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Proses undang-undang sedang berjalan berhubung pertuduhan rasuah dua Adun berkait permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah perlu dihormati.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali juga berharap semua pihak tidak membuat kesimpulan awal bersandarkan persepsi, sentimen atau laporan media sebelah pihak.

“Jangan kita terikut-ikut memutuskan seseorang adalah penjenayah rasuah sebelum berakhirnya proses siasatan dan keadilan di mahkamah.

“Ini kerana persepsi tidak semestinya satu realiti dan kita ada proses serta sistem perundangan,” katanya kepada pemberita selepas satu program di Papar.

Semalam, Adun Tanjung Batu Andi Muhammad Suryady Bandi dan Adun Sindumin Dr Yusof Yacob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas pertuduhan menerima rasuah RM350,000 berhubung permohonan lesen mencari gali mineral di negeri itu.

Ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa kerana memberi rasuah itu juga mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pemimpin GRS tidak pernah membuat komen terbuka dan secara rasmi berhubung mana-mana pemimpin parti lain dan kes mereka.

“Walau kadang kita seolah-olah ditolak ke dinding, kita tidak melatah untuk membuat perbandingan dan memilih untuk membiarkan proses undang-undang berjalan.

“Ini kerana kita percaya dan hormat kepada proses udang-undang, sama ada siasatan pihak berkuasa mahupun sistem keadilan negara melalui mahkamah, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya isu pertuduhan dua Adun terbabit kepada proses undang-undang dan tidak akan campur tangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.