
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata wanita berusia 59 tahun itu membuat laporan di IPD Timur Laut semalam selepas menyedari ditipu sindiket terbabit.
Katanya, kejadian berlaku pada 10 Mei lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa wakil sebuah bank tempatan.
“Suspek memaklumkan kononnya terdapat penyalahgunaan kad kredit atas nama mangsa, namun mangsa menafikan memiliki kad tersebut.
“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Balai Polis Johor.
“Pegawai palsu itu mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan meminta mangsa menyerahkan kesemua wang miliknya untuk tujuan audit siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.
Menurutnya, suspek turut memberi jaminan kepada mangsa bahawa wang akan dipulangkan semula selepas siasatan selesai selain mengugut akan mengeluarkan waran tangkap jika mangsa enggan berbuat demikian.
Katanya, mangsa yang ketakutan kemudiannya melakukan 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 23 akaun bank berbeza dari 19 Mei hingga 5 Jun lalu dengan jumlah keseluruhan RM890,000.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas menceritakan kejadian kepada rakannya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan terutama berhubung butiran perbankan dan maklumat peribadi.
“Semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan boleh dibuat melalui portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my atau hadir ke balai polis berdekatan. Sekiranya menjadi mangsa, segera hubungi pihak bank atau talian hotline NSRC 997 dan buat laporan polis,” katanya.