Warga Bangladesh ditahan disyaki penyokong al-Qaeda, HuJI-B

Warga Bangladesh ditahan disyaki penyokong al-Qaeda, HuJI-B

Menurut laporan mereka masuk ke Malaysia sebagai pelajar dan pekerja asing sebelum kegiatan dikesan pihak berkuasa.

khalid ismail
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata sebahagian mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan awal polis mendapati ada dalam kalangan 36 warga Bangladesh ditahan baru-baru ini dipercayai menjadi penyokong kumpulan radikal al-Qaeda dan Harkat-ul-Jihad al-Islami Bangladesh (HuJI-B) pernah terbabit siri pengeboman di negara asal mereka.

Berita Harian melaporkan mereka masuk ke Malaysia sebagai pelajar dan pekerja asing sebelum kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berkata sebahagian daripada mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, beberapa individu masih dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut berhubung rangkaian militan terbabit.

“Selebihnya kita telah usir keluar dan beberapa lagi masih dalam tahanan serta memerlukan siasatan lanjut,” katanya menurut akhbar itu selepas majlis serah terima tugas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau berkata, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci hasil siasatan dan status semua suspek.

“Esok atau lusa saya akan panggil sidang akhbar untuk kita semua menjelaskan kedudukan perkara sebenar.”

Difahamkan, semua suspek ditahan antara 23 Mei hingga 11 Jun lalu di sekitar Lembah Klang dan Seremban hasil maklumat risikan Cawangan Khas Bukit Aman.

Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, lima warga Bangladesh terbabit gerakan militan radikal itu sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam serta Johor Bahru, 15 diusir dan baki 16 masih dalam siasatan lanjut.

Katanya, gerakan itu mewujudkan sel pengrekrutan dalam komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.