
Katanya, beliau hairan apabila persaraan, sama ada penjawat awam, hakim atau pegawai lain, menjadi persoalan.
“Ada prosedur untuk umur persaraan. Ia tidak automatik…Dalam kes ini, saya dikecam,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.
Anwar berkata, nampaknya ada kempen untuk menekan kerajaan sama ada melanjut atau menamatkan tempoh tertentu, yang boleh mempolitikkan institusi sepatutnya kekal bebas.
“Jika anda faham Perlembagaan Persekutuan, anda akan tahu prosesnya.
“Ada suruhanjaya, perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong. Kemudian, ia (pelantikan) dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-raja. Jadi, semua langkah itu mesti diikuti.”
Di tengah-tengah khabar angin mengenai melobi, beliau berkata, ini sebabnya beliau sengaja mengelak menemui hakim kanan, selain ketua hakim negara.
Badan kehakiman kini berdepan beberapa siri persaraan.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat akan bersara esok. Calon penggantinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim pula akan bersara sehari kemudian, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan akan bersara Ogos ini. Tiada seorang pun daripada mereka diberikan lanjutan.
Anggota undang-undang, termasuk Badan Peguam menggesa ketiga-tiga tempoh perkhidmatan dilanjutkan kerana bimbang kemungkinan campur tangan politik dalam pelantikan dan kenaikan pangkat kehakiman.
Anwar juga mengulangi tidak terlibat dalam dua keputusan mahkamah berprofil tinggi – Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes SRC International dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan daripada tuduhan rasuah.
Beliau berkata, reaksi orang ramai terhadap kedua-dua kes tidak konsisten dan kelihatan didorong politik.
Menurutnya, badan kehakiman mesti dilindungi daripada tekanan tidak wajar, sama ada politik atau sebaliknya.
“Tetapi bukan ikut selera politik. Bukan ikut selera kelompok. Bukan ikut selera ‘lobbyist,” katanya.