Terengganu cadang tarik lesen pengusaha bot langgar peraturan

Terengganu cadang tarik lesen pengusaha bot langgar peraturan

Exco Razali Idris berkata tindakan itu bagi memberikan pengajaran dan memastikan pengusaha bot sentiasa mementingkan keselamatan pelancong.

bot terbalik pulau perhentian
Insiden bot terbalik di Pulau Perhentian Sabtu lalu mengorbankan tiga penumpang, dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal selain 10 lagi terselamat. (APMM pic)
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk menarik balik atau menggantung lesen pengusaha bot pelancong atau tekong terlibat kemalangan disebabkan kecuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Razali Idris, berkata tindakan tegas itu bagi memberikan pengajaran dan memastikan pengusaha bot sentiasa mementingkan keselamatan pelancong.

Beliau berkata, terdapat 628 pengusaha bot pelancong berlesen yang beroperasi di pulau peranginan di negeri ini termasuk Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah.

“Di Terengganu, sebanyak 70% sektor pelancongan tertumpu di pantai dan pulau. Oleh itu, kita ada beberapa rakan strategik seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia yang sentiasa mengadakan sesi libat urus untuk penguatkuasaan dan sebagainya.

“Susulan kes kemalangan yang berlaku di Pulau Perhentian sehingga mengakibatkan kehilangan tiga nyawa, kita akan hantar surat cadangan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk mereka tarik atau gantung lesen pengusaha bot atau tekong yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan…tarik atau gantung lesen bergantung pada kes,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman.

Razali berkata, kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan lain akan lebih kerap turun padang memberikan penerangan kepada operator pelancongan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus penumpang dan pelancong.

Selain itu katanya, pengusaha bot juga digalakkan menyampaikan taklimat keselamatan kepada penumpang sebelum berlepas.

“Ada juga kes melibatkan pelancong culas untuk pakai jaket keselamatan. Sebab itu kita dah buat banyak sesi libat urus dengan semua agensi dan pengusaha pelancongan untuk terangkan SOP bagi keselamatan pelancong.

“SOP sudah ada…tetapi tidak diikuti sehingga menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini. Seperti kes bot terbalik, kita dapati berlaku tiga pelanggaran oleh pengusaha bot terbabit, iaitu membawa lebih penumpang, tidak memakai jaket keselamatan dan lebih teruk mengambil bahan terlarang,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.30 malam Sabtu lalu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat.

Semua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.