
Mereka adalah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy, Adun Sindumin Dr Yusof Yacob dan pemberi maklumat Albert Tei.
Ketiga-tiganya membuat pengakuan di depan Hakim Jason Juga di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
Andi ialah Adun Tanjung Batu dan Ahli Parlimen Kalabakan yang digantung keahliannya selama enam tahun oleh Umno, manakala Yusof daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Sinar Harian melaporkan Yusof, 69, didakwa menerima suapan wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah restoran dalam hotel Kota Kinabalu pada 2 petang 6 Mac 2023 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapat lesen mencari gali mineral di Sabah.
Andi, 44, pula didakwa menerima suapan wang tunai RM150,000 daripada tertuduh sama di depan kediamannya di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu pada 11 malam 12 Mei 2023 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapat lesen mencari gali mineral di Sabah.
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hakim membenarkan dua Adun itu masing-masing diikat jamin RM50,000 dan deposit RM10,000 bersama seorang penjamin tempatan, selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi pendakwaan.
Di bilik mahkamah sama, Tei berdepan dua pertuduhan memberi suapan RM200,000 kepada Yusof dan RM150,000 kepada Andi di sebuah restoran dalam hotel Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023 serta di depan sebuah kediaman di Jalan Pantai Sembulan pada 12 Mei 2023.
Dia turut didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM50,000 dan deposit RM10,000 bagi pertuduhan pertama serta jaminan RM60,000 dan deposit RM15,000 untuk pertuduhan kedua.
Mahkamah menetapkan praperbicaraan pengurusan kes pada 5 Ogos ini.
Yusof dan Andi masing-masing diwakili barisan peguam Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri, Elhanan James, Jaharah Patinbangi serta Prem Elmer Ganasan, manakala Tei diwakili peguam Edward Paul, Bartholomew Jingulam dan Jul Hamri Junhani.
Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Rustam Sanip dan Nurul Izzati Sapifiee.
Dakwaan skandal itu timbul tahun lalu selepas beberapa video bocor dikatakan menunjukkan perbincangan rasuah dan salah laku berkaitan projek mencari gali mineral di Sabah.
Sebelum ini, SPRM menjelaskan “pemberi maklumat” terbabit dalam kesalahan yang mereka laporkan tidak layak dilindungi bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.