RTS Link capai kemajuan fizikal 56%

RTS Link capai kemajuan fizikal 56%

Projek yang dijangka siap penghujung 2026 itu mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam setiap hala.

rts
RTS Link akan selesaikan masalah kesesakan di sempadan, dan mengeratkan hubungan Malaysia-Singapura, kata Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura capai kemajuan fizikal sebanyak 56% setakat Jun.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata ia melibatkan pembinaan landasan, pembangunan stesen serta ujian sistem dan tren.

“Saya yakin, semua ini permulaan yang baik dalam mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini.

“Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan dan Singapura dalam membina prasarana yang moden, efisien dan selamat untuk keselesaan rakyat,” katanya di Facebook.

Onn berkata RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dalam hanya lima minit akan menyelesaikan masalah kesesakan di sempadan, mengeratkan hubungan Malaysia-Singapura dan merangsang ekonomi serantau.

Beliau berkata projek yang dijangka siap penghujung 2026 itu direka dengan kecekapan tinggi dan mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam setiap hala serta kekerapan 3.6 minit semasa waktu puncak, sekali gus berupaya menampung hingga 180,000 penumpang sehari.

Onn bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyaksikan pelancaran tren pertama RTS Link di Singapura yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.