Matrikulasi: Pelajar cemerlang SPM perlu dinilai 90% akademik, 10% kokurikulum

Matrikulasi: Pelajar cemerlang SPM perlu dinilai 90% akademik, 10% kokurikulum

Anuar Ahmad dari UKM khuatir dasar kemasukan automatik 10A akan buat ibu bapa tumpu jumlah A berbanding penglibatan aktif pelajar dalam kokurikulum.

stpm
Pada 25 Jun KPM berkata semua pelajar cemerlang 10A dan ke atas dalam SPM 2024 layak mendapat tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik tidak bersetuju pelajar mendapat 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) automatik diterima ke program matrikulasi sebaliknya berpandangan semua calon perlu dinilai dengan saksama iaitu 90% akademik dan 10% kokurikulum.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dasar 90-10 itu sudah lama menjadi syarat kemasukan ke program matrikulasi dan tiada masalah selama ini.

“Alih-alih, diumumkan semua pelajar yang dapat 10A (termasuk A-) secara automatik layak ke matrikulasi. Saya ingin bertanya, adakah ini bermaksud kalau tak ada markah kokurikulum pun, mereka tetap akan dijamin tempat di matrikulasi?

“Adilkah pada pelajar dapat 9A, 8A atau 7A yang ada markah kokurikulum tinggi? Bukankah mereka telah berusaha mematuhi dasar 90%+10% yang ditetapkan sebelum ini?” katanya di Facebook.

Anuar khuatir dasar itu akan membuatkan ibu apa lebih menumpukan untuk anak-anak mendapat keputusan 10A tanpa perlu penglibatan aktif aktiviti kokurikulum.

Beliau juga bimbang perkembangan itu akan menghilangkan agenda membangunkan potensi pelajar secara holistik dan seimbang selari hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Sepatutnya tidak patut ada dasar 10A automatik terus masuk matrikulasi. Semua calon mesti dinilai dengan saksama dengan dasar dan syarat kemasukan yang sama.

“90% akademik dan 10% kokurikulum. Dasar pendidikan yang baik ialah dasar yang adil pada semua,” kata Anuar yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) UKM.

Pada 25 Jun, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata semua pelajar cemerlang 10A dan ke atas dalam SPM 2024 layak mendapat tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

KPM berkata, ia termasuk keputusan mata pelajaran A-. Dasar berkenaan sama seperti diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jun tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.