Majlis media akan pilih pemegang jawatan pertama dalam 6 bulan akan datang

Majlis media akan pilih pemegang jawatan pertama dalam 6 bulan akan datang

Dua belas orang dilantik sebagai ahli lembaga pengasas, terdiri daripada wakil syarikat media, persatuan, pengamal dan ahli akademik.

fahmi fadzil
Menteri Fahmi Fadzil kata lembaga pengasas majlis media akan kemudi proses pemilihan pemegang jawatan pertama. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Majlis media akan mengadakan pemilihan ahli majlis pertamanya dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Satu pemilihan perlu dilaksana untuk memilih jawatankuasa ataupun memilih ahli majlis.

“Ini telah dimaklumkan kepada lembaga pengasas. Mereka mengemudi proses ini,” katanya di tepian acara Komuniti Madani di Yayasan Aman, Penanti.

Majlis itu suatu badan bebas yang ditubuhkan untuk menegakkan kebebasan media, menguatkuasakan etika kewartawanan, dan mengendalikan aduan orang ramai mengenai media.

Dua belas orang dilantik sebagai ahli lembaga pengasas, terdiri daripada wakil syarikat media, persatuan, pengamal dan ahli akademik.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan Putrajaya sedang meneliti cara paling berkesan untuk menyalurkan dana bagi operasi majlis, walaupun ia dibolehkan untuk meraih dan mengumpul dana.

Mengulas perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan memanggil TikTok minggu ini untuk beri penjelasan tentang ‘Personal Knockout Battle’ (PK Battle) yang menjadi trend di platform media sosial.

Ia melibatkan dua pengguna bersaing untuk menerima hadiah maya daripada penonton, yang kemudiannya ditukar kepada ganjaran tunai.

Pengkritik berkata trend “PK Battle” telah bertukar menjadi satu bentuk perjudian digital, di sebalik kegusaran ibu bapa bahawa kanak-kanak akan belanja wang untuk beli hadiah.

Fahmi berkata masalah itu antara sebab kerajaan menegaskan anak-anak bawah 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan media sosial yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.