
Felda dalam kenyataan menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa dan bakti sepanjang dua tahun perkhidmatan memegang amanah jawatan itu.
Menurutnya, Ahmad Shabery telah memainkan peranan besar dalam mengukuhkan semula ekosistem antara Felda dan anak-anak syarikat terutama dalam mempercepatkan penyahsenaraian FGV Holdings.
“Ia sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta meningkatkan imej dan prestij Felda,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, Felda memaklumkan telah menghantar dokumen tawaran untuk rancangan penyusunan semula FGV dengan tarikh tutup tawaran pada 5 petang, 7 Julai depan, melainkan tarikh itu dilanjutkan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Felda berkata, tawaran itu yang dibuat melalui Maybank Investment Bank akan terus dibuka untuk diterima sehingga tarikh tutup pertama atau tarikh kemudiannya yang mungkin ditetapkan diumumkan oleh Maybank bagi pihak Felda.
Tawaran berkenaan adalah sebahagian daripada tawaran pengambilalihan tanpa syarat secara sukarela oleh Felda untuk memiliki semua baki saham FGV pada harga RM1.30 sesaham.
Shabery yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai pengerusi Felda, Julai 2023, menggantikan mantan menteri besar Terengganu Idris Jusoh.
Beliau pernah menjadi menteri pertanian dan industri asas tani, menteri penerangan serta bekas menteri belia dan sukan.