
Keputusan berkenaan akan disampaikan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang.
Panel berkenaan menangguhkan keputusan mereka pada 14 Mei lalu setelah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Seorang daripada peguam mewakili bekas pakar patologi Dr R Kunaseegaran, Jasmine Cheong memberitahu Bernama bahawa mahkamah telah memaklumkan tarikh keputusan berkenaan pada pagi ini.
Kunaseegaran, 62, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandran, 54 dan empat penganggur iaitu R Dinishwaran, 33, A K Thinesh Kumar, 32, M Vishwanath, 35, dan S Nimalan, 32 didapati bersalah atas pembunuhan Morais dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka pada 14 Mac tahun lalu dan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.
Pembunuhan berlaku di satu lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.
Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayat Morais ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept tahun sama.