Anak Tommy Thomas didakwa sertai protes pro-Palestin

Anak Tommy Thomas didakwa sertai protes pro-Palestin

Wanita 35 tahun itu dibawa ke hospital dengan kecederaan serius di muka selepas didakwa enggan mematuhi arahan polis untuk bersurai ketika protes.

Hannah Thomas
Hannah Thomas dibawa ke hospital dengan kecederaan serius di muka, yang menurut peguamnya boleh menyebabkan kehilangan penglihatan di sebelah mata. (Gambar Instagram hannah4grayndler)
PETALING JAYA:
Polis Australia mendakwa anak bekas peguam negara, Tommy Thomas menghalang pegawainya ketika protes pro-Palestin di Sydney Jumaat lalu.

ABC News melaporkan Hannah Thomas diberikan notis tuntutan hadir ke mahkamah atas dakwaan menghalang pegawai polis dan enggan mematuhi arahan bersurai.

Wanita 35 tahun itu ditahan ketika protes dan cedera serius di muka. Beliau kini dirawat di hospital, yang menurut peguamnya, Peter O’Brien, mungkin menyebabkan beliau kehilangan penglihatan di sebelah mata.

Thomas dijadualkan hadir di mahkamah tempatan Bankstown pada 12 Ogos nanti.

Terdahulu, polis New South Wales berkata, kes itu belum disiasat sebagai “insiden kritikal” secara rasmi.

“Insiden itu masih dalam siasatan dan polis terus mencari maklumat lanjut,” kata polis dalam kenyataan.

Empat individu lain turut ditahan dalam protes itu, termasuk seorang lelaki 24 tahun yang didakwa mencuri kamera badan polis.

Keempat-empatnya didakwa atas pelbagai kesalahan dan diberikan jaminan bersyarat. Mereka dijadualkan hadir ke mahkamah 15 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.