Tiada rakyat Malaysia direkrut gerakan militan warga Bangladesh

Tiada rakyat Malaysia direkrut gerakan militan warga Bangladesh

Kumpulan bawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi IS ke negara ini hanya libatkan warga Bangladesh, kata menteri dalam negeri.

saifuddin nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan gerakan militan warga Bangladesh yang ditumpaskan baru-baru ini hanya bermotif jatuh kerajaan di negara asal mereka.
PETALING JAYA:
Tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh seperti yang didedahkan baru-baru ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, menurut hasil siasatan Cawangan Khas polis, kumpulan yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara itu hanya melibatkan warga Bangladesh.

“Hingga sekarang ternyata, aktiviti itu hanya terkait dengan keganasan dan ada motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka (Bangladesh),” katanya selepas merasmikan sebuah majlis di Kuala Berang, lapor Bernama.

“Jadi, penting untuk kita hebahkan kepada rakyat bahawa pasukan keselamatan kita berada pada tahap siap siaga yang tinggi. Kalau aktiviti ini tidak dibendung atau ditangani secara sambil lewa, ia akan memberi kesan besar kepada keselamatan negara.”

Baru-baru ini, Saifuddin mendedahkan polis menahan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuhkan dalam masa terdekat, diterajui oleh polis dengan sokongan agensi lain.

“Sebelum ini, ia (NSRC) ada empat agensi yang kawal selia termasuk SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), Bank Negara dan polis. Bagaimanapun, empat agensi yang kawal selia cara operasinya tidak begitu kemas.

“Jadi, apabila ia diperkukuhkan, yang (akan) menerima panggilan (aduan) adalah polis bertugas, butiran diambil dan kita akan maklumkan kepada bank untuk pihak bank ambil langkah pertama dengan bekukan akaun bank mangsa secepat mungkin.

“Polis akan segera cuba mengembalikan wang mangsa,” katanya.

Beliau berkata, langkah pengukuhan itu juga akan melibatkan talian hotline NSRC 997 beroperasi 24 jam, membolehkan mangsa membuat aduan pada bila-bila masa, selain bilangan petugas akan ditambah.

Katanya, cadangan pengukuhan itu telah diluluskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.