Sifar buli di MRSM, hapus hingga ke akar, kata Asyraf

Sifar buli di MRSM, hapus hingga ke akar, kata Asyraf

Pengerusi Mara berkata pihaknya menetapkan sasaran sifar buli di semua MRSM agar budaya toksik seperti itu tidak lagi berlaku.

buli-abuse
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar MRSM Besut didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior sehingga cedera pada perut, rusuk dan belakang badan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memastikan budaya buli dihapuskan hingga ke akar, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Mara berkata, pihaknya menetapkan sasaran ‘sifar buli’ di semua MRSM agar budaya toksik seperti itu tidak lagi berlaku dan perlu dihapuskan segera.

“Di Mara, kami tekankan prinsip “You Touch, You Go”, sesiapa yang terlibat dalam kes buli secara langsung atau bersubahat, tidak akan ada tolak ansur.

“MRSM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan pembentukan akhlak, jati diri dan kepimpinan masa depan negara. Kita tidak boleh benarkan satu insiden mencemar keseluruhan institusi yang merupakan medan melahirkan kepimpinan masa hadapan negara,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu menyusul selepas Asyraf ‘menerjah’ MRSM Besut tanpa pengetahuan pihak pengurusan bagi meninjau sendiri maktab yang terkait insiden buli beberapa hari lalu.

Sebelum ini, Asyraf memaklumkan enam pelajar MRSM di Terengganu yang terlibat kes buli diarahkan dibuang dari sekolah berkenaan, sambil menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap perbuatan itu atas apa jua alasan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan 2 sekolah itu didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior sehingga cedera pada perut, rusuk dan belakang badan.

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu dipetik sebagai berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.

Sementara itu, Asyraf berkata amat kecewa dan dukacita apabila mendengar ada insiden buli di maktab berkenaan.

“Ini bukan budaya kita. Ini bukan DNA MRSM.

“Budaya buli ini langsung tidak mencerminkan nilai Ulul Albab, sahsiah Mara dan prinsip pendidikan yang kami perjuangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.