
Abdul Wafiy Kamarudin, 23, berkata peristiwa duka 9 Jun itu seharusnya menjadi pemula kepada perubahan — titik penting untuk ubah cara kita melihat keselamatan jalan raya.
“Saya tidak mahu kehilangan yang kami alami ini dilupakan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi FMT.
Dalam nahas pada awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, selepas bas persiaran membawa 42 pelajar terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. Polis mengesahkan rakaman kamera papan pemuka memaparkan bas berkenaan dipandu laju sebelum nahas.

“Jika tragedi ini boleh jadi pemula kepada perubahan, maka mungkin itulah hikmahnya,” kata Wafiy.

Saksi nahas, Nuysirwan Shaari, 43, mendedahkan hatinya rasa bersalah dan terkilan kerana tidak mampu buat lebih ketika kejadian.
“Masa itu ada yang merayu-rayu meminta tolong untuk dikeluarkan saya minta maaf tidak mampu masuk dalam bas membawa keluar mangsa kerana kawasan itu terlalu gelap dan berisiko bas itu mungkin terbakar,” kata pegawai Angkatan Pertahanan Awam, yang dalam perjalanan pulang ke kampung ketika kejadian.
Perlu reformasi
Sebelum itu, pada Mei, negara dikejutkan dengan nahas mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan apabila lori membawa muatan melebihi had merempuh trak dinaiki mereka di Teluk Intan, Perak.
Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, berkata kerajaan, Puspakom iaitu syarikat pemeriksaan kenderaan, dan syarikat pengangkutan perlu dipertanggungjawab apabila kenderaan tidak layak (unfit vehicles) masih beroperasi.

Di pihak kerajaan, beliau mencadangkan sistem pemeriksaan berlapis oleh individu berbeza bagi memastikan proses audit dan pemeriksaan dilakukan dengan lebih ketat, termasuk mengelak isu rasuah.
Di pihak syarikat pula, Wan Agyl mencadangkan pemeriksaan akhir terhadap kenderaan yang sudah melepasi pemeriksaan Puspakom. “Setiap pihak mesti memainkan peranan, ini bukan hanya tanggungjawab pemandu semata-mata.”
Beliau turut mencadangkan pertuduhan jenayah terhadap syarikat, memandangkan kompaun hingga RM500,000 mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat tidak berkesan. “Kompaun mereka boleh bayar, yang jadi kambing hitam pemandu.”
Wan Agyl juga berpandangan perlunya suatu pangkalan data pusat mengandungi latar belakang pemandu kenderaan berat, termasuk kemahiran, status kesihatan, dan rekod jenayah.
“Kita tak ada sistem yang membolehkan syarikat menyemak rekod pemandu secara telus. Jadi tak adil untuk salahkan satu pihak sahaja — syarikat, kerajaan atau Puspakom. Ketiga-tiga pemain utama ini perlu duduk semeja dan cari penyelesaian bersama kerana isu ini bukan baharu,” katanya.
Wan Agyl menegaskan, pemandu perlu melalui tapisan ketat seperti diamalkan syarikat terkemuka seperti Petronas. “Mereka melakukannya kerana ia satu pelaburan yang baik, kerajaan juga perlu mengambil pendekatan sama.”
“Jika perlu, akses untuk mendapatkan lesen kenderaan barangan (GDL) diperketat dan proses mendapatkannya harus lebih sukar.”