Capai sasaran 70% penggunaan perlu pelaburan besar-besaran, keberanian

Capai sasaran 70% penggunaan perlu pelaburan besar-besaran, keberanian

Wan Agyl Wan Hassan kata sasaran 70% penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040 hampir mustahil dicapai dengan sistem sedia ada.

rapid
Pakar pengangkutan, Rosli Khan dan Wan Agyl Wan Hassan, kata mencapai sasaran 70% perlukan langkah radikal, konsisten, dan keberanian politik.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan perlu membuat pelaburan besar-besaran bagi mencapai sasaran 70% penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040 dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL), menurut pakar.

Malah, menurut seorang lagi pakar, sasaran tersebut bukan hanya sukar bahkan hampir mustahil dicapai dengan sistem sedia ada.

Perunding berpengalaman dalam industri pengangkutan, Rosli Khan, berkata banyak faktor perlu diperbaiki secara menyeluruh untuk meningkatkan kadar kepenggunaan daripada bawah atau sekitar 20-an sekarang kepada 70%.

Beliau menarik perhatian pada kapasiti perkhidmatan yang tidak menyeluruh, seperti kekurangan liputan pinggar bandar, dan kesukaran pengguna membuat sambungan terakhir dalam rangkaian pengangkutan awam.

“Banyak kawasan perumahan, pejabat dan komersial belum cukup tersambung secara langsung dengan laluan utama seperti MRT, LRT, KTMB komuter atau bas,” katanya kepada FMT.

Di kawasan bandar yang mana perkhidmatan bas tersedia, ia terpaksa bersaing dengan kenderaan persendirian. “Tiada laluan berasingan untuk bas atau transit aliran bas merumitkan lagi perjalanan bas dalam bandar.”

Rosli Azad Khan
Rosli Khan.

Rosli berkata kerajaan juga perlu melakukan reformasi ke atas dasar guna tanah bandar, dan merumus dasar yang lebih condong kepada pengangkutan awam berbanding kereta persendirian.

Turut harus diberi perhatian adalah pembangunan bandar yang terlalu bergantung pada kenderaan peribadi, kerana ia menyukarkan perubahan tabiat.

“Lebih-lebih lagi jika pengangkutan awam tidak menawarkan kelebihan dari segi masa dan kos,” katanya.

Rosli berkata kerajaan perlu menjawab apakah jenis insentif untuk mendorong orang ramai beralih daripada kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam.

“Tanpa langkah radikal dan konsisten, sasaran ini lebih cenderung menjadi cita-cita berbanding realiti,” katanya.

PTKL menyasarkan 70% penduduk menggunakan pengangkutan awam menjelang 2040, sejajar matlamat menjadikan Kuala Lumpur bandar hijau.

Datuk Bandar Maimunah Sharif dalam taklimat pada Selasa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mungkin menyediakan insentif untuk meningkatkan kepadatan penduduk di sekitar zon transit stesen LRT atau MRT.

Kebanyakan pengezonan PTKL 2040 berpusat pada penyelarasan rangka kerja sistem kereta api Kuala Lumpur, khasnya rangkaian MRT3.

PTKL bertujuan mewujudkan rangkaian pengangkutan untuk orang ramai bergerak dari sebuah tempat ke tempat lain pada jarak berjalan kaki kurang 400m.

Bukan soal wang, tapi keberanian

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

Wan Agyl Wan Hassan, pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, berkata wang dan teknologi bukan penghalang kepada mencapai sasaran 70% itu.

“Kita masih bergantung kepada struktur pentadbiran yang berselerak, perancangan dalam silo, dan pembiayaan operasi yang tidak menentu,” katanya kepada FMT.

“Dalam keadaan ini, pengangkutan awam kita tidak akan pernah menjadi pilihan utama rakyat.”

Beliau berkata peratusan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang masih tersekat sekitar 25% walaupun selepas MRT terbina, LRT dinaik taraf, dan pelbagai laluan bas.

“Kenapa? Kerana walaupun stesen kita cantik, ia sukar diakses. Bas masih tersekat dalam kesesakan. Tiada lorong khas yang konsisten. Tiada penyambung yang selamat dan mesra pengguna dari rumah ke stesen.

“Paling kritikal; tiada satu agensi pun yang benar-benar bertanggungjawab secara menyeluruh terhadap pengalaman pengguna pengangkutan awam darat bandar,” katanya.

Wan Agyl berkata pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang diwujudkan apabila kerajaan akui keperluan satu badan pusat untuk merancang dan selaras pengangkutan awam negara, memberikan mesej yang salah kepada pengguna.

“Sejak SPAD dibubarkan, tanggungjawabnya dipisah-pisahkan yang mana sebahagian di bawah kementerian, sebahagian lagi di bawah agensi, manakala pelaksanaan pula bergantung kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri. Semua terlibat, tetapi tiada siapa yang benar-benar memegang tanggungjawab yang penuh.

“Apa maknanya ini kepada rakyat biasa? Adakah ia bermakna jika anda tak mampu beli kereta, masa anda tak penting?” soal Wan Agyl.

Beliau berkata isu pengguna menghabiskan masa berjam-jam dalam bas yang lambat, berdiri di stesen yang tidak selesa, dan membayar lebih untuk perjalanan yang kurang efisien “bukan sekadar soal mobiliti”.

“Ini soal keadilan. Untuk membawa semula kepercayaan rakyat kepada sistem pengangkutan awam, kita perlu dua perubahan besar: struktur dan pembiayaan,” katanya.

Wan Agyl mencadangkan kerajaan mewujudkan semula badan pusat seperti SPAD, dan suatu tabung pengangkutan awam untuk menaik taraf sistem tren dan bas bandar dan membiayai operasi harian.

Badan pusat itu harus diberi kuasa undang-undang dan sokongan politik untuk merancang, menyelaras dan menguatkuasa, manakala Dana Pengangkutan Awam, yang menabung caj kesesakan di pusat bandar, harus dilindungi undang-undang.

“Lebih daripada itu, kita perlukan keberanian politik untuk mengambil semula ruang jalan untuk rakyat; bukan hanya untuk kereta. Lorong bas khas mesti dijadikan norma, bukan pengecualian. Laluan pejalan kaki dan berbasikal perlu diberi ruang dan perlindungan.”

“Soalnya sekarang bukan boleh atau tidak. Soalnya, sanggup atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.