Bekas kerani kaunter mengaku tak salah pecah amanah RM114,000

Bekas kerani kaunter mengaku tak salah pecah amanah RM114,000

Bibi Kasiran Mohamad didakwa buat kesalahan tak serah hasil jualan tiket ketika bekerja di Terminal Bas Lembah Sireh pada 2015.

mahkamah kota bharu
Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu benar jaminan RM18,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin dalam kes Bibi Kasiran Mohamad hari ini. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas kerani tiket bas mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang jualan tiket berjumlah RM114,630.80 sedekad lepas.

Bibi Kasiran Mohamad, 50, membuat pengakuan itu selepas 10 tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu Zulkifli Abllah, lapor Bernama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan dengan tidak menyerahkan hasil jualan tiket bernilai antara RM7,000 hingga lebih RM18,000 kepada sebuah syarikat bas antara Januari hingga Oktober 2015.

Dia ketika itu bekerja menjaga kaunter tiket bas di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu.

Dia didakwa bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 14 tahun dengan sebatan, selain boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Khairul Azwan Azhan.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan jaminan kerana kes terbabit melibatkan 10 tuduhan, namun jika mahkamah membenarkan, tawaran jaminan ialah RM5,000 bagi setiap tuduhan.

Bagaimanapun, Muhammad Khairul Azwan memohon pengurangan jaminan kerana anak guamnya kini ibu tunggal setelah kematian suami pada Ogos tahun lepas, selain perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

“Anak guam saya kini bekerja di sebuah kedai kuih dengan pendapatan RM45 sehari dan kesalahan ini yang pertama dilakukannya.

“Oleh itu, saya merayu jaminan dikurangkan sebanyak RM15,000 bagi semua tuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin.

Tarikh 28 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.