Umno ‘silap pertaruhan’ pilih tarikh PRU 2022, kata ahli MKT

Umno ‘silap pertaruhan’ pilih tarikh PRU 2022, kata ahli MKT

Ahmad Maslan berkata, kesilapan itu menghumban Umno 'ke laut paling dalam'.

Umno Supreme Council member Ahmad Maslan
Ahli MKT Umno Ahmad Maslan mengingatkan semua ahli agar tidak patah semangat menjelang PRU seterusnya dan terus dukung perjuangan parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan berkata, parti itu ‘silap pertaruhan’ ketika memilih tarikh PRU15 pada 2022, menyumbang kepada kejatuhannya.

Sebaliknya, kata Ahmad, Umno masih relevan dan kuat seperti yang dilihat menerusi kemenangan besar pada PRK sebelum ini.

“Umno bukan tidak kuat sebagaimana yang dikata, sebaliknya Umno silap pertaruhan dari segi memilih tarikh PRU pada 2022.

“Pada ketika itu, kita masih berkuasa dan Umno yang menjadi perdana menteri, namun disebabkan kita silap memilih tarikh, kita kalah ke laut yang paling dalam.

“PRK (di) Nenggiri, Pelangai, Tioman, Ayer Kuning, Mahkota, semua kita menang dan itu menunjukkan kita masih kuat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bachok hari ini, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan semua ahli agar tidak patah semangat menjelang PRU seterusnya dan terus mendukung perjuangan parti menerusi kegiatan yang perlu dilakukan pada semua peringkat.

“Antaranya perlu lakukan aktiviti bersama rakyat secara berterusan walaupun kecil … jentera semua peringkat termasuk veteran perlu berpadu dan bergabung selain perlu memastikan emosi pengundi terkawal.

“Jika kita jaga beberapa elemen ini, InsyaAllah momentum kita dalam keadaan terbaik dan akan memperoleh kemenangan pada PRU16 nanti,” katanya menambah, tiada apa yang mustahil pada masa akan datang, termasuk di Kelantan.

Pada 10 Okt 2022, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen lebih awal daripada tarikh tamat penggal pada Julai 2023, mencetuskan PRU.

Beliau bagaimanapun menafikan langkah itu dibuat susulan desakan Umno agar PRU diadakan pada penghujung 2022.

PRU yang diadakan pada November 2022 mencapai keputusan menyebabkan Parlimen tergantung, apabila tiada parti menang cukup kerusi untuk majoriti di Parlimen, dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi 74 kerusi, Perikatan Nasional (74) dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno (30).

Sehubungan itu, kerajaan campuran kemudiannya dibentuk oleh PH, BN, parti-parti Malaysia Timur dan parti bebas, yang menguasai sejumlah 153 kerusi, melebihi 122 yang diperlukan untuk majoriti di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.