Rafizi kritik kerajaan umpama ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’

Rafizi kritik kerajaan umpama ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’

Pengarang Kumpulan Berita Harian Zulkifli Jalil berkata kesilapan Rafizi Ramli adalah tergesa-gesa letak jawatan menteri ekonomi.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli melepaskan jawatannya sebagai menteri ekonomi pada 17 Jun lalu selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar.
PETALING JAYA:
Tindakan Rafizi Ramli yang masih membuat pelbagai dakwaan dan ‘menuding jari’ kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan perletakan jawatannya sebagai menteri dilihat seolah-olah mahu menarik PKR ke belakang.

Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil dalam satu rencana di akhbar itu berkata tindakan Rafizi itu juga seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ kerana terus mengkritik dan memburukkan partinya sendiri kepada umum.

“Jumaat (20 Jun) lalu, Rafizi mulakan podcast pertamanya, ‘Yang Berhenti Menteri’ selepas tidak lagi dalam Kabinet. Siapa yang sudah tengok? Masih mendakwa itu ini. Suka buat kesimpulan sendiri, ‘tuding jari’ pada perdana menteri.

“Ada sebilangan orang PKR tampak bertentangan dengan parti, sedangkan nak bentuk PKR seperti dicapai hari ini bukan tugas mudah. Perlukan 25 tahun. Ibarat jika ada seekor nyamuk, kenapa perlu dibakar kelambu? Tindak tanduk Rafizi seolah-olah tarik PKR ke belakang,” katanya.

Dalam program audio siar itu, Rafizi yang tewas kepada anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR berkata, lebih baik meletak jawatan daripada jadi menteri tidak berfungsi.

Menurutnya, beliau meletak jawatan bukan kerana kecewa, tetapi kerana beliau sedar telah hilang keyakinan perdana menteri, yang menjadikan pelaksanaan reformasi secara berkesan tidak mungkin berlaku.

Mengulas lanjut, zulkifli berkata satu-satunya kesilapan Rafizi adalah terburu-buru meletak jawatan pada 17 Jun lalu. Katanya, beliau mungkin ditolak parti tetapi bukannya rakyat.

Katanya, Rafizi tidak pernah dibuang, tak pernah diminta atau didesak supaya lepaskan jawatan menteri, malah perdana menteri sendiri mahu beliau kekal.

Menurutnya, dalam perlembagaan mana-mana parti politik pun, waima Perlembagaan Persekutuan, tidak ada syarat hendak jadi menteri, mesti ada jawatan dalam parti.

Zulkifli juga berkata, petunjuk prestasi utama atau KPI Rafizi sebagai menteri ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan juga cemerlang dengan dasar-dasar seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Pelan Tenaga Boleh Ubah, naratif ekonomi Madani, Pangkalan Data Utama (PADU), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Saya fikir Rafizi patut tenangkan diri dulu. Tanya diri, adakah tindakan lepaskan jawatan menteri menguntungkan parti?

“Untuk ‘come back’ bukan perkara mudah. Apatah lagi kita menjadi ‘tangan’ yang menjejaskan parti. Lihat pemimpin dulu-dulu,” katanya yang merujuk pemimpin seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang menubuhkan Semangat 46 selepas keluar dari Umno sebelum kembali ke parti itu.

Beliau berkata, adat pertandingan ada menang, ada kalah. Tetapi kalah dalam politik, bukan bermakna kalah mati. Politik sangat dinamik.

“Tapi istilah merajuk tidak boleh wujud dalam politik. Seorang ahli politik itu mesti tahan dikritik. Tak boleh telinga nipis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.