Penganalisis ramal parti baharu Hati bakal kecewa

Penganalisis ramal parti baharu Hati bakal kecewa

James Chin berkata pengundi mahu parti yang bawa perubahan, manakala Azmi Hassan berkata pemimpin parti baharu itu tidak dikenali.

CHAN TSE YUEN
Presiden Parti Hati Rakyat Malaysia, Chan Tse Yuen bercakap dalam sidang media pelancaran parti baharu itu pada Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Pengundi yang tidak berpuas hati dengan kerajaan kemungkinan besar menyokong pembangkang dalam PRU akan datang dan bukannya mengundi parti baharu, kata seorang penganalisis politik ketika menolak aspirasi Parti Hati Rakyat Malaysia (Hati).

James Chin dari Universiti Tasmania berkata pengundi tidak mungkin akan menyokong parti baharu kerana mereka tidak percaya ia boleh membentuk kerajaan.

“Jika rakyat tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan (PH), mereka akan mengundi Perikatan Nasional (PN). Jadi sudah ada pilihan yang jelas. Rakyat faham bahawa pilihan raya akan datang akan menjadi pertempuran antara PH-Barisan Nasional dan PN.”

Hati, yang diperkenalkan pada Jumaat, meletakkan parti itu sebagai alternatif kepada pengundi yang kecewa dengan kerajaan semasa.

James Chin
James Chin.

Chin juga berpendapat bahawa ramai rakyat Malaysia tidak mahu satu lagi parlimen tergantung berlaku, yang telah memaksa pihak istana untuk campur tangan bagi membantu membentuk kerajaan baharu.

Kerajaan perpaduan hari ini adalah hasil daripada parlimen tergantung susulan keputusan PRU lalu, selepas tiada parti memperoleh majoriti jelas.

Chin juga berkata jika parti itu memutuskan untuk menyertai PRN Sabah tidak lama lagi, “mereka pasti hilang deposit”.

Mengenai prospek Hati dalam PRU akan datang, Chin berkata parti itu mempunyai dua tahun untuk membina nama, tetapi ia akan menjadi tugas yang sukar kerana parti itu tidak mempunyai pemimpin yang terkenal.

Dan setakat ini, kepimpinan tertingginya ‘hampir tidak dikenali’.

Hati diterajui oleh bekas timbalan pengerusi Pemuda MCA, Chan Tse Yuen. Pemimpin lain ialah Timbalan Presiden Abdul Razak Abdul Khalek dan naib-naib presiden Dr Lim Hong Jun, Derrick Kok, dan Chee Chee Meng.

Chin berkata pengundi secara umum tidak akan menyokong parti yang mereka percaya tidak mampu membawa perubahan sebenar.

“Di Malaysia, jika kamu mahu membawa perubahan sebenar, kamu perlu berada dalam kerajaan atau sekurang-kurangnya dalam salah satu gabungan besar,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat Hati akan bergelut untuk meraih sokongan walaupun ia membentuk pakatan dengan parti kecil lain, seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Beliau juga menyamakan strategi Hati dengan pendekatan awal Bersatu untuk menarik penyokong Umno yang tidak berpuas hati.

“Modus operandi di sini seperti strategi Bersatu – jika kamu tidak puas hati dengan Umno, datang undi kami,” katanya.

“Bagaimanapun, ia akan sangat sukar kerana parti itu termasuk pemimpinnya tiada rekod prestasi. Jadi bagaimana mahu menarik pengundi PH yang kecewa?”

Beliau berkata lebih mudah untuk PN menarik penyokong PH yang tidak berpuas hati.

Azmi berkata Hati, seperti Muda, akan belajar bahawa ia tidak boleh bertahan bersendirian atau bergantung semata-mata kepada personaliti.

“Hati perlukan parti yang lebih besar, bukan PSM atau Muda. Dalam hal ini, ia adalah PN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.