
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan atau maklumat bekalan kedua-dua sektor tersebut terjejas teruk.
“Aduan itu ada tetapi hanya libatkan kes terpencil … hanya aduan biasa dan ia kerana faktor cuaca sama ada ketika banjir atau kemarau.
“Setakat ini, kita dapati tidak banyak (bekalan) yang terjejas dan keadaan masih lagi terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian @ KPKM di Shah Alam, lapor Bernama.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lepas dijangka berlarutan hingga September.
Semalam, Ketua Pengarah MetMalaysia Mohd Hisham Anip dilaporkan berkata, keadaan cuaca panas dan kurang hujan dijangka di kebanyakan tempat di seluruh negara mulai esok hingga 1 Julai.
Suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka mencecah 35 darjah Celsius dan orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan kegiatan luar.