
Pengarah Program Asia Tenggara di Lowy Institute Australia Susannah Patton berkata ekonomi menjadi asas kepada kuasa di rantau ini.
“Akhirnya ekonomi adalah segalanya di Asia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada juga bentuk hubungan lain seperti pertahanan dan budaya.
“Itulah salah satu sebab mengapa pengaruh China di rantau ini semakin meningkat — kerana China mempunyai hubungan perdagangan dan ekonomi kukuh dengan hampir semua negara di Asia,” katanya kepada FMT di tepian Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-38.
Walaupun Asean telah bertindak balas terhadap tekanan geopolitik dengan meneroka kerjasama baharu — seperti dengan Eropah, Amerika Latin atau BRICS — Patton menekankan integrasi yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota adalah strategi yang sama penting.
“Perdagangan sesama negara Asean kekal stabil sejak lebih sedekad lalu. Walaupun wujud gagasan Komuniti Ekonomi Asean, ramai berpendapat ia belum menjadi realiti,” katanya.
“Negara-negara anggota telah menghapuskan banyak halangan tarif antara satu sama lain. Namun, mereka belum menghapuskan sebahagian besar halangan bukan tarif yang masih menghalang integrasi ekonomi di kalangan negara Asean,” tambahnya.
Felo kanan penyelidik di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Denis Hew turut menyuarakan keperluan memperkukuh integrasi ekonomi, khususnya ketika Asia Tenggara berdepan cabaran seperti perang perdagangan.
Pada April lalu, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif terhadap banyak negara termasuk Malaysia. Bagaimanapun, sejak itu, kadar tarif bagi Malaysia dikurangkan daripada 24% kepada 10%.
Namun pada 12 Jun, Presiden AS Donald Trump memberi amaran Washington mungkin sekali lagi melaras tarif secara sepihak sebelum tarikh akhir asal pada 9 Julai.
“Banyak negara dalam Asean tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk melawan balik. Kesatuan Eropah (EU) boleh kerana mereka jauh lebih terintegrasi,” kata Hew.
“EU juga bersedia membalas tindakan AS dengan senarai tarif balas mereka sendiri.”
Hew yang pernah mengetuai unit dasar Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) berkata integrasi ekonomi yang lebih besar bukan bertujuan menjadi seperti EU, sebaliknya memperkukuh daya tahan dan kedudukan rundingan Asean walaupun tanpa tindakan balas.
“Matlamatnya untuk mewujudkan pasaran dan asas pengeluaran tunggal,” katanya.
“Ia bukan pasaran gaya EU, tetapi apa yang cuba dilakukan ialah menggalakkan kerjasama antara negara Asean dengan memanfaatkan kelebihan daya saing masing-masing untuk membentuk satu platform industri yang boleh menjadi alternatif kepada pasaran besar seperti China.
“Asean mempunyai potensi sebagai pasaran besar, tetapi ia juga boleh menjadi platform pelaburan. Fokus utama sekarang untuk menangani cabaran serta melaksanakan perkara dipersetujui dalam dokumen Komuniti Ekonomi Asean,” tambah Hew.
Hubungan dua hala
Dengan Washington masih belum memberi maklum balas terhadap cadangan menganjurkan Sidang Kemuncak Asean-AS tahun ini, Hew menjangka pentadbiran Trump hanya akan berinteraksi dengan Asia Tenggara secara dua hala, bukannya dengan Asean secara keseluruhan.
“Saya rasa Presiden Trump tidak begitu berminat dengan Asean ketika ini. Beliau mungkin tidak peduli terhadap usaha kita membina komuniti ekonomi. Beliau hanya berminat bekerjasama secara individu dengan negara-negara Asean dianggap penting dari segi strategik,” katanya.
Selain isu tarif, Patton menyatakan rakan dialog Asean — termasuk AS dan Australia — juga cenderung memperkukuh hubungan dua hala pada masa depan.
“Adalah penting bagi rakan dialog berinteraksi dengan Asean sebagai satu blok — melalui Sidang Kemuncak Asean, mesyuarat dan proses seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau Asean,” katanya.
“Tetapi mungkin yang lebih penting dalam interaksi dengan Asia Tenggara ialah hubungan dua hala individu seperti yang dijalinkan Australia atau AS.
“Walaupun Asean penting dalam banyak aspek, kebanyakan rakan luar akan mendekati rantau ini melalui lensa hubungan dua hala, melihat siapa rakan yang paling sesuai untuk bekerjasama dan di mana wujudnya kepentingan bersama,” jelasnya.
Menurut Patton, ini sejajar kecenderungan Asia Tenggara terhadap dasar berkecuali — memperoleh manfaat maksimum daripada pelbagai rakan tanpa terikat dan mengekalkan fleksibiliti untuk bergerak.
Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) antara forum utama rantau ini dalam bidang keselamatan, ekonomi dan geopolitik.
Isu perpaduan Asean dan integrasi ekonomi juga dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Kuala Lumpur.