Dipecat secara tak sah, naib presiden GLC dapat pampasan RM1.3 juta

Dipecat secara tak sah, naib presiden GLC dapat pampasan RM1.3 juta

Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) turut diarahkan melunaskan semua caruman statutori berkaitan dengan pampasan tersebut dalam tempoh 30 hari.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur menganugerahkan pampasan RM1.3 juta kepada Syed Agil Syed Hashim atas pemecatan tidak sah oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur mengarahkan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) membayar pampasan RM1.3 juta kepada bekas naib presidennya atas pemecatan yang tidak sah.

Pemecatan terhadap Syed Agil Syed Hashim pada awalnya disahkan sebuah mahkamah perusahaan lain pada 2023.

Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan itu pada Januari lalu dan mengarahkan pengerusi baharu mendengar semula kes itu bagi menentukan jumlah pampasan wajar dibayar.

Pravin Kaur Jessy yang mengambil alih kes itu menyatakan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya telah mendapati pemecatan ke atas Syed Agil, lima tahun lalu dibuat tanpa alasan munasabah.

Syed Agil memulakan kerjayanya pada 2006 dengan gaji asas RM14,000 sebulan dan menjelang pemecatannya, beliau menerima gaji RM39,600 sebulan.

“Berdasarkan dapatan ini, jelas perkhidmatan beliau bukan berdasarkan kontrak bertempoh tetapi pekerjaan tetap.

“Oleh itu mahkamah menerima beliau berada dalam perkhidmatan tetap dan berterusan selama 14 tahun, sehingga pemecatannya pada 30 September 2020,” kata Pravin dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 19 Jun.

Beliau turut menjelaskan tugasnya seperti diarahkan Mahkamah Tinggi, hanya untuk menilai jumlah pampasan yang sesuai sebagai ganti pemulangan semula jawatan dan tunggakan gaji.

Pravin memutuskan Syed Agil layak menerima pampasan 14 bulan gaji, berjumlah RM554,400, berdasarkan gaji asas terakhirnya.

Bagi tunggakan gaji, beliau dianugerahkan 24 bulan gaji, berjumlah RM760,320, selepas potongan 20% bagi pendapatan selepas pemecatan.

Jumlah keseluruhan pampasan ialah RM1,314,720.

Mahkamah turut mengarahkan syarikat itu melunaskan semua caruman statutori kepada pihak berkuasa berkaitan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghakiman.

Nur Zur’Ain Mat Ramlee mewakili pihak penuntut, manakala Abdul Aziz Hamzah mewakili syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.