Dahulu dibantu, kini keluarga baby Reesa mahu balas budi

Dahulu dibantu, kini keluarga baby Reesa mahu balas budi

Keluarga Reese Tan Rui Xin tubuh yayasan untuk beri kesedaran dan sedia bantuan kewangan untuk penghidap Atrofi Otot Spina (SMA), penyakit genetik jarang jumpa.

Reese Tan Rui Xin atau Baby Reese bersama ibunya, Rachel Chung hadir pra tayangan dokumentari khas bertajuk ‘Race to Save’.
KUALA LUMPUR:
Rachel Chung masih ingat kesulitan dihadapinya dua tahun lalu untuk membesarkan anaknya Reese Tan Rui Xin yang disahkan menghidap Atrofi Otot Spina (SMA), penyakit genetik jarang jumpa.

Keadaan itu menyebabkan Reesa yang berusia dua tahun ketika itu tidak dapat merangkak, berdiri atau berjalan seperti kanak-kanak lain, sebaliknya hanya mampu meniarap sahaja.

Reese juga ada kalanya sukar bernafas, tidak dapat mengunyah makanan dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Kos RM9 juta diperlukan mendapat suntikan ubat genetik juga memeningkan kepala Rachel sekeluarga. Namun, di sebalik kesulitan, jalan mereka dipermudahkan hasil kutipan sumbangan dana digerakkan pertubuhan kebajikan, One Hope Charity.

Reese Tan Rui Xin kekal ceria di sebalik cabarannya dihadapi sepanjang proses rawatan. (Gambar Facebook)

Kini selepas mendapat suntikan dan terapi gen Zolgensma, keadaan Reesa bertambah baik sedikit walaupun masih perlu didukung untuk bergerak.

Terkesan dengan keprihatinan itu, Rachel mahu membalas budi orang ramai dengan menubuhkan Yayasan SMA untuk menyokong pesakit genetik itu.

Yayasan itu antaranya bakal menyediakan bantuan kewangan, sumber pendidikan dan mempromosikan saringan genetik pra-kehamilan kepada keluarga berisiko.

“Tiada kata dapat menggambarkan perasaan kami apabila diberitahu rawatan itu mungkin satu-satunya peluang untuk Reese hidup.

“Kami sangat bersyukur atas sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia, kini tiba giliran kami membantu orang lain,” kata Rachel ditemui pada pra tayangan dokumentari khas bertajuk ‘Race to Save’.

Dokumentari bakal ditayangkan 9 malam ini menerusi Astro AEC, mengangkat cabaran emosi dan perubatan dilaluinya.

Berdurasi 30 minit, dokumentari terbitan Unicorn Media itu turut memaparkan semangat dan usaha luar biasa rakyat Malaysia mengumpul dana RM9 juta untuk rawatan terapi gen penyelamat nyawa Reesa atau dikenali Baby Reesa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.