
MOD dalam kenyataan berkata perkhidmatan akan dikecualikan cukai perkhidmatan (ST) itu termasuk rawatan kuku, rawatan wajah, serta khidmat gunting dan pendandan rambut.
“Selepas meneliti sentimen awam, perdana menteri dan menteri kewangan Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak meneruskan cukai berkenaan kepada perkhidmatan kecantikan,” katanya.
Sebelum ini, MOF mengumumkan perkhidmatan kecantikan antara enam sektor baharu yang akan dikenakan cukai antara 5% hingga 10% selepas peluasan SST berkuatkuasa 1 Julai ini.
Selain perkhidmatan kecantikan dan estetik, sektor penyewaan dan pajakan; perkhidmatan pembinaan; perkhidmatan kewangan dan insurans; penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta turut dikenakan SST.
Bagi meringankan beban perniagaan kecil, MOF turut memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

“Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada ST untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan ST atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai,” katanya.
MOF menyeru semua pihak supaya membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST.
“Orang awam disarankan merujuk pengumuman awam, infografik, perundangan subsidiari, garis panduan, dan soalan lazim (FAQ) diterbitkan menerusi saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” menurut.