Pemimpin DAP bidas Zuhdi cuba tutup salah Zaharudin

Pemimpin DAP bidas Zuhdi cuba tutup salah Zaharudin

Syahredzan Johan berkata tindakan Zuhdi Marzuki pertahan Zaharudin Muhammad bukti PAS tidak hargai jasa dan pengorbanan bukan Melayu.

Syahredzan Johan n Zuhdi Marzuki Marsuki
Syahredzan Johan bidas Zuhdi Marzuki yang menuduh DAP memainkan sensitiviti dalam isu hantaran kontroversi memaparkan leftenan jeneral Cina pertama.
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan membidas seorang pemimpin PAS yang menuduh parti itu memainkan sensitiviti dalam isu hantaran kontroversi memaparkan leftenan jeneral Cina pertama.

Ahli Parlimen Bangi itu mendakwa Ahli Jawatankuasa PAS Zuhdi Marzuki cuba menutup kesalahan Yang Di Pertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad yang membuat hantaran pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.

Hantaran itu diiringi Johnny Lim Eng Seng yang dinaikkan pangkat sebagai leftenan jeneral angkatan tentera awal minggu ini dengan keterangan ia sekadar hiasan.

“Kami mengecam Zaharudin yang telah membangkitkan polemik kaum dalam kenaikan pangkat Johnny, kenyataan kami untuk mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Juga merit seorang anak Malaysia yang diberi penghormatan dalam ATM,” kata Syahredzan dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan Zuhdi memperkecilkan ‘dosa’ Zaharudin itu turut mendedahkan wajah sebenar PAS iaitu mereka tidak menghargai jasa dan pengorbanan bukan Melayu dalam negara ini.

“Isu pokok kontroversi ini tindakan seorang pemimpin PAS membawa polemik kaum dalam penghormatan diberikan kepada seorang Leftenan Jeneral ATM berbangsa Cina.”

Zuhdi dalam kenyataan mempertahankan Zaharudin berkata kontroversi itu sebenarnya dicipta pemimpin DAP dengan tidak menyentuh pun isu sebenar yang ditimbulkan iaitu perdana menteri dari kalangan bukan Islam.

“Sebaliknya DAP memainkan sensitiviti tentang pelantikan Leftenan Jeneral tersebut dengan menyebut PAS memperlekehkannya,” katanya.

Semalam, Zaharudin cuba mempertahankan hantaran Facebook yang kini telah dipadam, kononnya untuk meningkatkan kesedaran tentang kemungkinan pemegang visa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) mendapat anak di Malaysia, memohon kewarganegaraan dan akhirnya mengundi di negara ini.

Beliau mendakwa program itu boleh menyebabkan lambakan warga asing di Malaysia yang kemudian akan memohon kewarganegaraan. Ini, menurutnya, boleh membawa kepada ‘seorang perdana menteri yang lahir daripada kalangan warga asing menjelang tahun 2058’.

Zaharudin turut mendakwa gambar Lim dimuat naik hanya untuk ‘tujuan hiasan’. Ia tidak bertujuan menyampaikan sebarang mesej tersurat atau tersirat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.