
Baginda bertitah, urus tadbir kerajaan perlu mengikut landasan syariat Islam, bukannya kefahaman sekular atau liberal.
“Saya ingin mengingatkan pemimpin masyarakat tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, janganlah ada pihak tunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebar fitnah, menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, di sini.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan tidak menjadikan pentas dakwah dan medan pengajaran agama saluran membawa agenda politik kepartian, sebaliknya kekal sebagai ruang memperkukuh perpaduan serta penyatuan ummah.
Sultan Ibrahim turut menitahkan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali menyalakan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Nilai perpaduan erat dicapai di negara ini melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
“Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian.”
Sultan Ibrahim turut menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara mencontohi sifat Rasulullah yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi golongan lemah.
Selain itu, umat Islam juga diseru memahami tanggungjawab besar dalam membina sebuah tamadun berteraskan nilai Islam.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar daripada segi fizikal, tetapi turut mencakupi aspek akhlak, ilmu dan keinsanan.
“Orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa mereka dijanjikan kedudukan tinggi di sisiNya. Mereka inilah golongan yang benar-benar memperoleh kemenangan.
“Hijrah Rasulullah ke Madinah satu perjalanan bersejarah yang menjadi asas kepada Perlembagaan Piagam Madinah, iaitu dokumen penting mendasari prinsip keadilan, muafakat dan kepelbagaian.”
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda menyempurnakan penyampaian hadiah kepada bekas mufti Johor, Nooh Gadot sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, manakala Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M.
Turut berangkat ke majlis itu anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar dan anggota Jemaah Menteri serta hampir 8,000 tetamu, termasuk kontinjen dari kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M bertemakan “Membangun Ummah Madani” menyeru umat Islam mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah untuk membina masyarakat lebih bertamadun, inklusif dan seimbang daripada segi kerohanian serta fizikal, di samping membina negara Madani.