Buah: Kerajaan mahu giat semula kempen makan hasil petani tempatan

Buah: Kerajaan mahu giat semula kempen makan hasil petani tempatan

Kempen Makan Buah-buahan Tempatan akan dilancarkan secara rasmi di Tawau, Sabah pada 5 Julai dan diperluas ke negeri lain.

Menteri Mohamad Sabu kata agensi kerajaan disaran saji buah-buahan tempatan dalam setiap hidangan rasmi sebagai tanda sokongan terhadap hasil pertanian domestik. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan akan mempergiat semula Kempen Makan Buah-buahan Tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buah-buahan import, selain membantu meningkatkan pendapatan petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu berkata semua agensi kerajaan disaran menyajikan buah-buahan tempatan dalam setiap hidangan rasmi sebagai tanda sokongan terhadap hasil pertanian domestik.

“Kerajaan memang menggalakkan rakyat makan buah-buahan tempatan sejak dahulu lagi. Jika ada hidangan rasmi kerajaan, kita minta supaya buah-buahan tempatan disajikan kerana kita mahu mengutamakan hasil tempatan dan membantu para petani kita,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Nanas Malaysia 2025.

Kempen tersebut akan dilancarkan secara rasmi di Tawau, Sabah pada 5 Julai sebelum diperluas ke negeri lain secara berperingkat.

Beliau berkata pelbagai jenis buah tempatan seperti nanas, durian dan nangka bukan sahaja berpotensi untuk pasaran domestik, malah berdaya saing di peringkat eksport.

Pada 20 Jun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan supaya tidak menggunakan barangan import, khususnya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Mohamad berkata arahan tersebut menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan dapat memperluas peluang pasaran untuk para petani dan pengusaha pertanian dalam negara.

Dalam ucapannya, beliau turut memuji kejayaan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang berjaya meningkatkan pengeluaran nanas negara sehingga melepasi RM1 bilion.

“Alhamdulillah, pengeluaran nanas kita sudah mencukupi untuk kegunaan domestik, sebarang peningkatan selepas ini adalah untuk tujuan eksport. LPNM, pihak swasta dan juga individu telah menyahut cabaran kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran sehingga kini melebihi RM1 bilion,” katanya.

Beliau turut memuji inisiatif kerajaan Sarawak membangunkan varieti baharu nanas dikenali sebagai Sarawak Gold 1 (SG-1), yang menunjukkan hasil tinggi dan daya tahan penyakit.

“Saya telah melawat ladang di Sungai Tukau, Miri. Hasil SG-1 memang tinggi dan kalis penyakit. Ia boleh dituai lebih awal, sekitar setahun berbanding varieti biasa yang memakan masa kira-kira 14 bulan,” katanya.

Mohamad berkata lebih satu juta benih SG-1 mula dibawa masuk ke Semenanjung bagi diperluas penanamannya secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga tahun lepas, keluasan tanaman nanas mencapai hampir 19,000 hektar, dengan 13,000 hektar daripadanya merupakan keluasan berhasil.

“Jumlah pengeluaran mencecah 520,000 metrik tan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion. Ini merupakan peningkatan 17% dari segi kuantiti dan 34% dari segi nilai berbanding tahun 2023,” katanya.

Mohamad berkata peningkatan itu menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat, dengan data lapangan menunjukkan purata pendapatan pengusaha nanas kini hampir RM9,000 sebulan.

Setakat ini, terdapat lebih 8,000 pengusaha serta 308 syarikat bersaiz kecil, sederhana dan besar yang terlibat secara aktif dalam industri nanas, sekali gus mencerminkan peningkatan minat masyarakat terhadap tanaman tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.