Beri pelajar cemerlang STPM kursus, universiti pilihan pertama, gesa Pemuda DAP

Beri pelajar cemerlang STPM kursus, universiti pilihan pertama, gesa Pemuda DAP

Ketuanya Woo Kah Leong berkata ia mencerminkan prinsip keadilan dan meritokrasi, dua teras utama yang wajar jadi asas sistem pendidikan tinggi negara.

pelajar cemerlang stpm
Baru-baru ini, seramai 1,266 calon STPM bagi 2024 memperoleh PNGK 4.00, manakala purata nasional ialah 2.85, tertinggi pernah direkodkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP menggesa Putrajaya melaksanakan reformasi pendidikan jangka pendek dengan memberi keutamaan kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 untuk memilih kursus dan universiti pilihan pertama mereka.

Ketuanya, Woo Kah Leong, berkata pelajar cemerlang ini seharusnya dibenarkan secara automatik untuk mendaftar di universiti dan kursus pilihan mereka yang dimohon melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

Adun Pasir Bedamar itu berkata langkah ini mencerminkan prinsip keadilan dan meritokrasi, dua teras utama yang wajar menjadi asas kepada sistem pendidikan tinggi negara.

“Dalam sistem pra-universiti sedia ada, matrikulasi mempunyai kelebihan jauh lebih besar daripada STPM, sehingga menyebabkan ramai pelajar cemerlang STPM tidak mengira kaum gagal untuk memperoleh pilihan IPTA dan kursus utama mereka.

“Situasi ini menjejaskan semangat, motivasi dan masa depan pelajar STPM,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Woo, reformasi pendidikan tinggi seperti itu penting bagi meningkatkan kualiti dan daya saing graduan yang dihasilkan, selain membantu pelajar memperbaiki taraf ekonomi keluarga mereka.

“Sebagaimana kerajaan menjamin pelajar SPM yang memperoleh 10A diberikan kemasukan automatik ke matrikulasi, pendekatan sama harus diperluaskan kepada pelajar STPM.

“Kemasukan ke universiti awam harus dilakukan secara adil, telus dan berdasarkan prestasi akademik pelajar agar pelajar cemerlang boleh mendapat peluang pendidikan yang adil,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan semua pelajar yang memperoleh 10A ke atas dalam SPM tahun lalu dan memohon program matrikulasi akan dijamin tempat, tanpa mengira kaum atau latar belakang mereka.

Pada Selasa, Majlis Peperiksaan Malaysia memaklumkan bahawa seramai 1,266 calon STPM bagi 2024 memperoleh PNGK 4.00, manakala purata nasional ialah 2.85, tertinggi pernah direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.