Anwar mulakan lawatan rasmi ke Indonesia

Anwar mulakan lawatan rasmi ke Indonesia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Prabowo Subianto dijangka meneroka agenda mengukuhkan kestabilan serantau dan kerjasama strategik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memulakan lawatan ke Indonesia hari ini, disambut oleh Presiden Prabowo Subianto. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba hari ini untuk lawatan rasmi ke Indonesia.

Pesawat yang membawa perdana menteri serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur pada kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan, dan ketibaan beliau disambut Presiden Prabowo Subianto.

Dalam perjumpaan dengan Prabowo, Anwar dijangka membincangkan isu-isu dua hala utama, di samping meneroka agenda bagi mengukuhkan kestabilan serantau ketika Malaysia dan Indonesia meningkatkan lagi kerjasama strategik.

Di Istana Merdeka, perdana menteri diberi penghormatan memeriksa barisan kehormatan oleh pasukan keselamatan presiden, sebelum majlis sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan.

Kedua-dua pemimpin kemudian saling memperkenalkan menteri masing-masing, diikuti sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.

Menteri yang menganggotai delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Zafrul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.

Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, disusuli mesyuarat dua hala lanjutan melibatkan menteri kedua-dua negara.

Mesyuarat dijangka memberi tumpuan pada perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi, dan hal ehwal serantau.

Lawatan itu juga sebahagian daripada persiapan untuk Perundingan Tahunan Malaysia–Indonesia ke-13, yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.