
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri Rabu lalu.
“Tugas utama beliau adalah mengolah dan merombak semula intipati naskah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini, dengan mengambil kira maklumat tambahan dikemukakan kementerian serta pandangan dan ulasan diberikan Jemaah Menteri.”
Sementara itu, Amir berterima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas kepercayaannya untuk beliau memikul tugas di Kementerian Ekonomi.
Ketika ini, beliau berkata, antara tugas utamanya bersama warga Kementerian Ekonomi adalah memuktamadkan naskah RMK13 untuk pembentangan di Parlimen.
“Banyak maklum balas diterima daripada menteri yang memerlukan rombakan semula intipati RMK13 supaya memaparkan dasar keutamaan kerajaan serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan.
Amir, yang juga senator, dilantik menteri kewangan II pada Disember 2023.
Jawatan menteri ekonomi kosong susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selepas kalah dalam pemilihan timbalan presiden PKR.
Rafizi dilaporkan berkata, beliau menyelesaikan RMK13 sebelum meletak jawatan, yang disifatkannya tanggungjawab terakhirnya sebagai menteri ekonomi.
Katanya, dokumen itu didraf bagi memberi penekanan lebih kepada reformasi menyeluruh, termasuk membabitkan Kementerian Pendidikan.
Susulan peletakan jawatannya, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) bulan lalu menggesa Putrajaya mengekalkan kesinambungan dasar dan komitmen terhadap reformasi ekonomi jangka panjang.
Pengerusi Samenta, William Ng dilaporkan berkata, RMK13 tidak sepatutnya dilihat sebagai visi seorang menteri, tetapi pelan induk negara yang lahir daripada rundingan menyeluruh dan keperluan mendesak.
Beliau turut memberi amaran Malaysia berisiko kehilangan satu lagi kitaran ekonomi, jika reformasi utama digariskan dalam RMK13 tidak dilindungi dan dilaksanakan sepenuhnya.