Ahli Parlimen gesa dedah kontrak ukur sistem pendaratan pesawat

Ahli Parlimen gesa dedah kontrak ukur sistem pendaratan pesawat

Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata kerajaan perlu menjelaskan nilai kontrak baharu didakwa diberikan kepada Aerotree Defense and Services Sdn Bhd.

Sikorsky UH-60A Black Hawk
Aerotree Defense and Services Sdn Bhd sebelum ini didedahkan menerima kontrak baharu selepas gagal membekalkan empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk hampir lapan bulan lalu. (Gambar Aerotree Defence and Services)
PETALING JAYA:
Pemimpin pembangkang menggesa kerajaan mendedahkan jumlah nilai kontrak didakwa diberikan kepada sebuah syarikat yang gagal menyempurnakan pembekalan empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk hampir lapan bulan lalu.

Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata laporan media yang melaporkan pemilihan Aerotree Defense and Services Sdn Bhd untuk menentukur peralatan sistem pendaratan instrumen bagi pesawat sayap tetap di tiga pangkalan udara tentera perlu dijelaskan.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu mendakwa perkembangan itu sekiranya benar disifatkan tidak sihat dalam perolehan aset ketenteraan.

“Kerajaan perlu menjelaskan nilai kontrak berkenaan selaras dengan prinsip ketelusan.

“Tambahan pula, syarikat ini merupakan pihak yang sama gagal membekalkan helikopter Black Hawk yang amat diperlukan bagi tujuan tempur,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, FMT melaporkan timbul persoalan berkait keputusan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberikan kontrak baharu Aerotree Defense and Services yang gagal membekalkan empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk.

Menurut sepucuk surat, syarikat itu diberikan kontrak menentukur peralatan sistem pendaratan instrumen bagi pesawat sayap tetap di tiga pangkalan udara tentera baru-baru ini.

November lalu, Kementerian Pertahanan membatalkan kontrak sewaan Black Hawk bernilai RM187 juta yang dimeterai dengan Aerotree atas kegagalannya menghantar pesawat itu selepas tiga kali penangguhan.

Empat helikopter yang disewa selama lima tahun itu sepatutnya berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat bagi menyokong latihan dan misi penerbangan operasi.

Ikmal yang mengetuai jawatankuasa portfolio pertahanan Perikatan Nasional (PN) turut meminta kementerian terbabit menjelaskan jumlah penalti atau denda telah dibayar syarikat berkenaan akibat kegagalan membekalkan helikopter itu.

Menurutnya, masyarakat berhak tahu rekod prestasi syarikat terbabit dalam perolehan aset ketenteraan serta pembangunan fasiliti pertahanan, memandangkan kegagalan perkembangan dalam pembekalan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.