
Beliau yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah berkata, ini kerana tiada sebarang rayuan atau permohonan maaf daripada bekas naib presiden Umno itu selepas digantung pada Januari 2023.
“Oleh kerana tidak ada satu pun surat rayuan daripada orang itu, maka saya serahkan kepada MKT untuk tentukan.
“Kita akan tunggu usul dibawa Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan dalam biro politik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara menteri pembangunan luar bandar dan wilayah dengan exco luar bandar (MEXCLUB).
Beliau mengulas usul Umno Sembrong supaya kepimpinan parti menarik semula penggantungan keahlian enam tahun bekas ketua bahagiannya.
Zahid turut menegaskan, MKT Umno tidak akan menggantung ahli tanpa bukti kukuh atau laporan diterima, merujuk tiga kes melibatkan pemimpin itu yang menyebabkan tindakan penggantungan diambil.
Antaranya, menghasut 10 wakil rakyat Barisan Nasional mengalihkan sokongan, menghasut 22 ketua bahagian di Sabah keluar Umno dan membubarkan parti itu serta cubaan menyingkirkan beliau sebagai pengerusi BN sebelum kerajaan perpaduan dibentuk.
“Itu contoh, saya tak merujuk sesiapa, fikirlah sendiri siapa orang itu. Kalau orang itu bertanya apa salah saya, itulah jawapannya.
“Jadi, MKT telah buat keputusan yang betul ketika itu. MKT tidak akan memecat ataupun menggantung seseorang itu jika tidak ada kesalahan,” kata Zahid.
Onn Hafiz yang juga ketua Umno Johor ketika merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong berjanji membawa usul itu kepada kepimpinan tertinggi Umno.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023. Media memetik surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana tindakan melanggar fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.
Pada Disember tahun lalu, ada gesaan supaya Hishammuddin kembali kepada Umno selepas MKT menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Zahid dilapor berkata, Umno sedia terima Hishammuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.