Syed Saddiq ditawar kembali ketuai Muda

Syed Saddiq ditawar kembali ketuai Muda

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda dalam mesyuarat malam tadi.

syed saddiq
Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz berkata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah membersihkan namanya di mahkamah.
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz menawarkan jawatan presiden kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semula selepas dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram semalam.

Amira berkata, Syed Saddiq sudah membersihkan namanya di mahkamah dan mempertahankan nama baik Muda secara konsisten sepanjang menjadi Ahli Parlimen Muar.

Katanya, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda dalam mesyuarat malam tadi.

Tetapi, mereka bersetuju memberi sedikit masa kepada Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran itu.

“JKEP berpandangan dengan kembalinya Syed Saddiq dalam tampuk kepimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti, terutamanya dalam usaha mengemudi parti menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya juga ingatkan Syed Saddiq masih berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan kawasan Parlimen Muar. Politik khidmat Syed Saddiq tidak pernah culas. Itu jelas tidak ada perubahan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Muda dilaporkan berkata, ia akan membincangkan kedudukan Syed Saddiq dalam parti selepas dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Syed Saddiq disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023 atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna aset dan pengubahan wang haram.

Beliau kemudian mengumumkan akan berundur sebagai presiden Muda buat sementara dan tidak akan terbabit proses membuat keputusan parti. Amira memangku jawatan itu sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.