Subsidi bersasar RON95 dilaksana secara berperingkat, kata Amir

Subsidi bersasar RON95 dilaksana secara berperingkat, kata Amir

Menteri kewangan II itu berkata kerajaan masih dalam proses reka bentuk sistem paling sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar.

petrol fuel pump
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata rasionalisasi subsidi akan bermula pada separuh kedua tahun ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 tahun ini secara berperingkat, dengan mengambil kira mekanisme paling sesuai supaya tidak membebankan rakyat, kata menteri kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Amir berkata kerajaan masih dalam proses reka bentuk sistem paling sesuai untuk melaksanakan subsidi bersasar itu, dan ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebaik sahaja siap, lapor Berita Harian.

“Perdana menteri menyatakan bahawa subsidi bersasar untuk RON95 akan dilaksanakan tahun ini juga.

“Tetapi seperti mana pendekatan yang diambil terhadap diesel, kita perlu pastikan mekanisme pelaksanaannya betul dan tidak membebankan rakyat.

“Dari segi dasarnya, perdana menteri berkata kerajaan tidak akan mengenakan tahap yang tinggi, kami ingin memastikan kebanyakan rakyat Malaysia tidak akan terkena impak (penyasaran) RON95 ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Amir sebelum ini berkata rasionalisasi subsidi akan bermula pada separuh kedua tahun ini, walaupun tiada tarikh dinyatakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rasionalisasi subsidi itu akan menyasarkan terutamanya warga asing dan 5% hingga 10% golongan pendapatan tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata langkah kerajaan ke arah rasionalisasi subsidi adalah satu langkah penting untuk memastikan sumber negara disalurkan secara berkesan bagi memanfaatkan golongan berpendapatan rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.