‘Saya tunggu surat saman’, Sim beritahu Zaharudin

‘Saya tunggu surat saman’, Sim beritahu Zaharudin

Steven Sim berkata beliau sanggup berdepan Zaharudin Muhammad demi pertahan keharmonian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

steven sim
Terdahulu, Zaharudin Muhammad berkata beliau akan pertimbang tindakan undang-undang terhadap Steven Sim jika ada ruang.
PETALING JAYA:
Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim sedia berdepan saman Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berkait isu hantaran kontroversi gambar leftenan jeneral Cina pertama.

Menteri Sumber Manusia itu berkata beliau tidak akan berganjak daripada berdepan pemimpin PAS terbabit yang didakwanya bersifat perkauman, rasis dan menghina perajurit negara.

“Kalau kerana mempertahankan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan martabat ATM (Angkatan Tentera Malaysia) maka saya mahu disaman pemimpin PAS itu, saya bersedia!.

“Saya tunggu surat saman daripada peguamnya. Apalah sangat perjuangan kecil saya ini jika dibandingkan dengan nilai perpaduan masyarakat Malaysia dan pengorbanan serta maruah anggota ATM kita,” katanya di Facebook.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap Zaharuddin.

Dalam kenyataan pagi ini, Zaharudin berkata beliau akan menyaman sebuah laman sesawang dan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Sim jika ada ruang kerana didakwa telah memutarbelit hantarannya di media sosial.

Hantaran Zaharudin itu berkait gambaran 2058 dan ‘naturalisasi PM’ yang turut menyertakan gambar Johnny Lim Eng Seng, iaitu leftenan jeneral Cina pertama.

Beliau menjelaskan hantaran kontroversi itu sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat berhubung program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang didakwanya akan menuntut hak sebagai warganegara seperti mengundi.

Zaharudin turut mendakwa gambar Lim itu hanya bersifat hiasan dan bukan niatnya untuk menghina atau memperlekehkan pemasyhuran berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.