Ramai tuntut keadilan kematian Maniishapriet

Ramai tuntut keadilan kematian Maniishapriet

Aktivis, ahli politik dan orang ramai desak unsur tanggungjawab dan perubahan susulan kematian tragis Maniishapriet Kaur Akhara.

Maniishapriet Kaur Akhara
Kematian Maniishapriet Kaur Akhara cetus kesedihan dan kemarahan daripada ahli politik, aktivis dan orang awam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kematian pelajar fisioterapi Universiti Cyberjaya Maniishapriet Kaur Akhara, 20, mencetuskan desakan meluas terhadap kebertanggungjawaban dan perubahan bagi menjamin keselamatan.

Kejadian itu mencetuskan kesedihan selain kemarahan di media sosial dengan ahli politik, aktivis dan orang awam tampil menuntut jawapan dan keadilan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri merakamkan ucapan takziah apabila menziarahi keluarga Maniishapriet semasa upacara pengebumian di Krematorium Loke Yew pagi ini.

“Saya merakamkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada keluarga atas kehilangan yang amat menyayat hati ini.

“Saya yakin pihak berkuasa berkaitan akan menjalankan siasatan secara telus dan berintegriti agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Maniishapriet, yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada Selasa, dengan kesan kecederaan pada tubuh.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, mengesahkan kematian berpunca daripada hentakan objek tumpul di kepala.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda pencerobohan. Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kecederaan di kepala.

“Tiada kecederaan konsisten dengan kes rogol,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, menyifatkan pembunuhan itu sebagai ‘mengejutkan’.

“Saya menggesa siasatan dilakukan secara telus, adil dan segera supaya keadilan ditegakkan dan kebenaran dapat didedahkan,” katanya memaklumkan mengikuti perkembangan siasatan polis Sepang dengan rapat.

Ketua Wanita MIC, N Saraswati, berkata pelajar berhak untuk rasa selamat di tempat mereka tinggal dan belajar.

“Tindakan segera dan tegas perlu diambil. Marilah kita menghormati ingatan terhadap beliau dengan menuntut dan mendesak langkah perlindungan yang lebih baik untuk para pelajar,” katanya.

Sementara itu, Universiti Cyberjaya menerima kecaman hebat di media sosial kerana berdiam diri susulan kematian Maniishapriet.

Puluhan komen ditinggalkan di halaman media sosial rasmi universiti tersebut menuntut penjelasan dan kebertanggungjawaban, dengan ramai yang bersatu menggunakan tanda pagar #justiceformaniisha.

Ramai yang menuduhnya tidak peka apabila memuat naik kandungan promosi hanya beberapa jam selepas insiden tersebut berlaku.

“Anda sibuk mempromosikan universiti enam jam yang lalu. Apa tindakan yang telah diambil?” soal seorang pengguna.

Ada juga yang menyifatkan sikap berdiam diri itu sebagai ‘amat kejam’ dan ramai mempersoalkan tahap keselamatan serta pengurusan penginapan pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.