Peluasan cukai perkhidmatan tidak jejas perkhidmatan harian, kata kumpulan bank

Peluasan cukai perkhidmatan tidak jejas perkhidmatan harian, kata kumpulan bank

Mereka kata semakan cukai 1 Julai hanya menyasarkan perkhidmatan korporat dan pelaburan.

bank atm
Semakan cukai tidak akan jejas perkhidmatan seperti simpanan, e-dompet, kad kredit atau transaksi ATM.
PETALING JAYA:
Tiga persatuan perbankan utama beri jaminan kepada rakyat bahawa perkhidmatan perbankan harian tidak akan terjejas oleh perluasan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan.

Persatuan Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) berkata skop yang disemak semula itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai, hanya akan beri kesan pada perkhidmatan perbankan korporat, perbendaharaan dan pelaburan terpilih.

Mereka berkata perkhidmatan pengguna asas yang melibatkan yuran atau komisen, seperti yang berkaitan dengan akaun semasa atau simpanan, e-dompet atau kad kredit, akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

Perkhidmatan seperti deposit tunai, pengeluaran, pembayaran, pemindahan dana tempatan, pengeluaran kad debit dan yuran tahunan yang berkaitan, dan transaksi ATM atau cawangan seperti pembayaran bil atau pencetakan penyata masih dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

“Ini dianggap perkhidmatan perbankan asas dan kekal di luar skop untuk tujuan cukai perkhidmatan,” kata persatuan-persatuan itu dalam kenyataan bersama.

Mereka juga mengesahkan faedah, caj berasaskan keuntungan, penalti dan yuran tahunan kad kredit tidak akan terjejas.

Pengecualian ini, kata mereka, bertujuan untuk memastikan perbankan rutin bagi pengguna individu tidak disentuh oleh rangka kerja cukai yang diperluaskan.

“Semua bank di bawah ABM, AIBIM dan MIBA komited pada ketelusan. Apabila cukai perkhidmatan dikenakan, caj akan dinyatakan dengan jelas dan dimaklumkan kepada pelanggan,” kata persatuan itu.

Pelanggan yang tidak pasti bagaimana skop cukai yang diperluaskan memberi kesan ke atas mereka digesa hubungi bank masing-masing.

“Industri perbankan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan peralihan ini dikendalikan secara jelas dan bertanggungjawab,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.