Panglima ATM pertahan kelayakan Lim, bidas golongan jumud

Panglima ATM pertahan kelayakan Lim, bidas golongan jumud

Nizam Jaffar kata Johnny Lim Eng Seng naik pangkat atas kecemerlangan yang beliau pamerkan.

Johnny Lim
Panglima Angkatan Tentera Nizam Jaffar (kiri) dan Panglima Tentera Darat Hafizuddeain Jantan (kanan) memakaikan pangkat leftenan jeneral pada Johnny Lim Eng Seng. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Nizam Jaffar mempertahankan kelayakan Leftenan Jeneral Johnny Lim Eng Seng, dan membidas golongan berfikiran jumud yang menggunakan kenaikan pangkat beliau untuk mencetuskan kontroversi.

Nizam berkata menggunakan pelantikan Lim untuk mencetuskan kontroversi dan mengancam semangat kesatuan adalah “sangat tidak bertempat”, dan menunjukkan “pemikiran songsang serta amat cetek”.

“Tidak usahlah nak dikaitkan dengan segala fakta songsang kalau sendiri buta sejarah,” katanya di Facebook.

“Beliau (Lim) dinaikkan pangkat atas kecemerlangan yang telah beliau pamerkan dan sememangnya layak.”

Nizam mengingatkan ATM adalah satu wadah tumpuan, di mana penyertaan adalah atas rasa cinta serta ingin berkorban.

“Inilah model ‘unity in diversity’ (‘kesatuan dalam kepelbagaian) yang ternyata amat berkesan,” katanya.

Lim melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke leftenan jeneral dalam ATM.

Komandan Maktab Ketahanan Nasional itu pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk ketua jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, panglima 31 Briged Infantri, inspektor jeneral tentera darat dan ketua staf Markas Pemerintahan Medan Barat.

Terdahulu, media melaporkan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.

Mengiringi hantaran tersebut gambar penganugerahan pangkat kepada Lim, dengan keterangan ia sekadar hiasan. Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.

Menjawab pengkritik, Zaharudin menjelaskan kepada FMT bahawa gambar Lim tiada kaitan dengan penulisannya, dan beliau tiada motif untuk menghina pelantikan Lim.

PAS memaklumkan bahawa catatan Zaharudin adalah pandangan peribadi, dan berlawanan dengan dasar, ketetapan dan wawasan PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.