
Hakim Nordin Hassan berkata bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu gagal menunjukkan kewujudan isu baharu yang memerlukan rayuannya didengar.
“Isu bidang kuasa Mahkamah Syariah dan sivil telah diperjelaskan dalam kes-kes terdahulu, termasuk satu kes baru-baru ini mengenai cabaran seorang wanita terhadap status agamanya,” katanya.
Turut bersidang dalam panel yang mendengar permohonan itu ialah Hakim Abu Jais Bakar dan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos.
Dalam usahanya untuk memulakan semakan kehakiman, beliau mahu Mahkamah Tinggi membatalkan perintah Mahkamah Syariah pada 14 Okt 2019 yang membenarkan ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin memulakan prosiding menghina mahkamah terhadapnya.
Beliau mendakwa arahan itu dibuat dengan niat jahat.
Pada 5 Sept 2019, Maria mengeluarkan kenyataan media bahawa ‘wanita Islam masih didiskriminasi bawah sistem perundangan syariah Malaysia’.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari kepada bekas isteri Faisal, Emilia Hanafi kerana menjadualkan semula tarikh melawat anak-anaknya adalah suatu ‘ketidakadilan yang berat’ dan ‘penghinaan sepenuhnya terhadap sistem kehakiman’.
Pada 25 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria kerana menghina mahkamah.
Dalam prosiding asal, Mahkamah Tinggi memberikan Maria kebenaran untuk mencabar perintah tunjuk sebab itu, tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu tahun lalu.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara daripada Mahkamah Syariah.
Maria diwakili oleh peguam Bahari Yeow dan Rosli Dahlan manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak kerajaan.
Peguam Akberdin Abdul Kader, yang memegang kuasa memerhati bagi pihak Faisal hari ini, kemudian berkata Maria perlu kembali ke Mahkamah Rayuan Syariah untuk merayu terhadap hukuman tujuh hari itu.